Sekumpulan penyelam mendakwa berjaya menemui bangkai sebuah kapal perang Jerman yang hilang secara misteri di perairan Scotland selepas Perang Dunia Pertama.
Bangkai kapal perang yang dipercayai V81 adalah sebahagian daripada Armada High Seas yang terbabit dalam pertempuran Jutland pada 1916. Pertempuran itu adalah satu-satunya pertempuran laut terbesar ketika Perang Dunia Pertama.
V81 kini dipercayai terdampar di dasar laut kira-kira 32 kilometer dari Freswick, Scotland.
Pertempuran Jutland meragut lebih 6,000 askar Britain dan 2,500 askar Jerman dengan tentera laut Britain kehilangan 14 kapal manakala Jerman kehilangan 11 kapal.
Bagaimanapun, V81 antara kapal perang yang selamat tetapi ia ditenggelamkan oleh tentera Jerman sendiri pada 1919 di Scapa Flow, Orkney di Scotland kerana bimbang ia dirampas tentera Bersekutu selepas tewas dalam Perang Dunia Pertama.
Daripada 74 kapal yang ditawan tentera Britain, 52 karam di lautan tetapi sebahagiannya termasuk V81 berjaya ditunda ke pantai untuk mengelak ia daripada karam sebelum dileraikan.
Namun, rekod menunjukkan V81 tidak pernah sampai ke tempat kawasan simpanan sekerap dan lokasi kapal itu terus menjadi misteri.
Kelab Penyelam Caithness percaya bangkai kapal yang ditemui kira-kira 32 kilometer dari lokasi V81 sepatutnya dibawa adalah kapal yang hilang itu.
“V81 ditunda ke Rosyth untuk dileraikan tetapi tali penunda putus dan kapal itu terus karam berhampiran Freswick,” kata pengerusi kelab berkenaan, David Steele.
Davy Carter dari Syarikat Penyelam dan Bangkai Kapal turut mempunyai pendapat yang sama.
“Kami tahu ia adalah V81 berdasarkan serpihan kapal yang kami temui,” katanya.
Penyelam turut merakamkan gambar bangkai kapal itu dan mendakwa terdapat nombor siri dan reka bentuk yang menunjukkan ia adalah V81 yang hilang.
“Ia mempunyai dua turbin sama seperti kapal Jerman pada waktu itu. Ia juga mempunyai meriam dan serpihan dengan tulisan Jerman. Kami tahu ia adalah V81,” kata Carter.
Bangkai kapal itu hampir hancur selepas berpuluh-puluh tahun terdampar di dasar laut tetapi masih terdapat beberapa bukti yang menunjukkan kewujudannya.
“Bangkai kapal ini sudah pecah. Ia terdampar pada kedalaman 14 meter, berhampiran dengan tebing menyebabkan ia terdedah dengan tindak balas ombak dan arus kuat,” ujar Steele
Kebanyakan yang tinggal adalah serpihan besi berkarat seperti bahagian bawah kapal, dek dan beberapa serpihan tembaga.
“Satu-satunya serpihan besar yang tinggal adalah turbin dan kotak gear serta apa yang kami percayai aci kipas berkembar,” jelasnya.
Gambar yang dirakam kumpulan itu menunjukkan turbin yang diliputi rumpai laut tebal, meriam dan beberapa objek yang tidak dapat dikenal pasti.
Sumber metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan