Kuala Lumpur: Tindakan pemilik premis menghalang orang awam meletakkan kenderaan di ruang parkir di Laman Rimbunan, Kepong di sini, dengan menaikkan tiang parkir khas pada cuti umum mengundang padah apabila diberikan amaran pihak berkuasa.
Kejadian itu disedari pagi kelmarin sebelum orang awam yang tidak berpuas hati dengan perkara berkenaan membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, berdasarkan aduan diterima, lima anggota penguat kuasa dikerah ke lokasi terbabit untuk membuat pemeriksaan jam 3 petang, kelmarin.
“Sebaik tiba, mereka mendapati aduan itu benar. Tiang pada lima lot parkir khas DBKL di depan premis berkenaan dinaikkan.
“Ekoran itu, anggota bertugas memberi amaran kepada pemilik premis sebelum kelima-lima tiang berkenaan diturunkan semula bagi membolehkan orang awam meletakkan kenderaan mereka pada cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan,,” katanya.
Azman berkata, tindakan menaikkan tiang parkir khas DBKL pada cuti umum satu kesalahan kerana ruang parkir itu boleh digunakan pada Ahad dan cuti umum.
“Difahamkan pemilik premis sudah beberapa kali melakukan tindakan sama (menaikkan tiang), namun kali ini ia berjaya dikesan pihak berkuasa berikutan aduan orang awam.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan sama dalam usaha menjaga hak orang ramai berhubung isu parkir di kawasan awam,”
Tindakan pemilik premis menaikkan tiang parkir khas DBKL turut tular selepas status mengenai kejadian itu dimuat naik di media sosial sejak semalam.
Sumber metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan