POLIS berjaya mematahkan kegiatan penjenayah yang terbabit dalam sekurang-kurangnya 100 kes kecurian tong gas premis restoran dan perumahan di sekitar Sandakan.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kumpulan yang dikenali sebagai geng Codok itu disyaki melakukan jenayah dengan memecah masuk ke premis restoran dan perumahan untuk mencuri tong gas.
Katanya, kegiatan jenayah itu dilumpuhkan susulan penahanan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun di Taman Emas, Batu 7 pada 25 Januari lalu.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini terbabit dengan lebih 100 kes kehilangan tong gas. Bagaimanapun setakat ini, polis hanya menemui 12 tong gas,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bandar Sandakan, hari ini.
Mohd Azhar berkata, polis turut merampas Perodua Viva yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah itu.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM25,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 serta Seksyen 457 akta sama,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Azhar berkata, sepanjang Januari tahun ini pihaknya sudah menahan 25 individu berusia 17 hingga 53 tahun dan menyelesaikan sekurang-kurangnya 31 kes jenayah.
“Semua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kes jenayah membabitkan kecurian harta benda, pecah rumah, curi motosikal dan samun.
“Polis turut berjaya merampas 131 unit pelbagai barangan yang dilaporkan hilang antaranya, televisyen, telefon bimbit, kamera, motosikal dan kereta yang bernilai keseluruhan RM213,500,”
Sumber metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan