Pemuda curi kabel elektrik

PEMUDA sanggup mempertaruhkan nyawa semata-mata mahu mencuri kabel di pencawang elektrik di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), Bintulu.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 31 tahun berjaya dikesan anggota Polis Bantuan Lembaha Kemajuan Bintulu (BDA) yang kebetulan menjalankan rondaan di lokasi kejadian pada 12.20 malam sebelum menahannya.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, perbuatan suspek menyebabkan kawasan perindustrian itu mengalami gangguan bekalan elektrik hingga menjejaskan operasi.

Berikutan gangguan bekalan itu, Sarawak Energy Berhad (SEB) menghantar pasukan juruteknik untuk menjalankan pemeriksaan di semua pencawang di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan menemui kereta diparkir di tepi jalan berhampiran Pencawang 24 SIP, namun kenderaan terbabit terus beredar sebaik menyedari kehadiran petugas berkenaan.

“Pasukan terbabit kemudian bergegas menjalankan pemeriksaan dan mendapati kawasan pencawang itu sudah dipecah masuk, dengan komponen di dalamnya didapati rosak,” katanya dalam satu kenyataan di Bintulu, hari ini.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan Polis Bantuan BDA yang menjalankan sekatan jalan raya di kawasan perindustrian terbabit menahan kereta dinaiki suspek pada 1.30 pagi, dipercayai ketika dalam usahanya meloloskan diri.

Sejurus ditahan, suspek bersama-sama kereta dinaikinya diserahkan ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Bintulu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Zulkipli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kejadian itu kerana ia membabitkan SIP yang juga antara pusat industri dan pelaburan utama di Sarawak.






Sumber metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...