Lenggok pergerakan pokok sedikit condong, rimbunan kanopi tebal berkelompok, daun berbentuk runcing kecil dan batang pokok berwarna kelabu tampak utuh meskipun merekah, menjadi kriteria istimewa bonsai dikenali Beackea frutescens.
Lebih dikenali dengan nama pokok cucur atap atau corong atap, tumbuhan herba yang hidup subur di pesisiran pantai terutama di Terengganu, Kelantan dan Pahang ini dilabel sebagai bonsai kemegahan beridentitikan Malaysia selain sukar ditemui di negara lain.
Meskipun tiada kombinasi warna-warni yang hangat seperti spesies flora lain mengindahkan Festival FLORIA Diraja Putrajaya (FLORIA) berpusat di Presint 4, taman bonsai dan suiseki (seni estetika tradisional Jepun) tetap berjaya menarik perhatian pengunjung.
Bayangkan pokok bersaiz gergasi dan besar yang tumbuh subur di habitat semula jadi sama ada hutan dan pulau, berjaya dikecilkan kemudian ditempatkan ke dalam pasu.
Pencinta bonsai dari Selangor Association Bonsai Arts and Stone (SABAS), Aminulrazi Mokhtar berkata, ia adalah seni menghidupkan pokok mini di dalam pasu hiasan.
“Malah bonsai adalah istilah dipakai dalam seni tradisional Jepun yang merujuk kepada pemeliharaan tanaman atau pokok dalam pasu dan memperindahkan lagi bentuk akar, batang, dahan, ranting serta daun.
“Di Malaysia, bonsai dikategorikan mengikut spesies seperti pokok pulau yang merujuk kepada pokok hidup di pulau seperti bebuas dan kayu hitam (Maba buxifolia).
“Kedua, pokok campuran seperti pokok limau dan ara. Seterusnya, spesies cucur atap (Beackea frustecens) dan juniper yang merujuk kepada pokok berasal dari Taiwan, China serta Jepun.
“Sebenarnya bonsai berasal daripada induk gergasi secara alami namun ia melalui proses seni bonsai membuatkannya jauh lebih kerdil berbanding ciri semula jadi.
“Ia dibahagikan kepada beberapa saiz seperti S bagi ketinggian kurang daripada 35 sentimeter (sm), M (antara 36 hingga 75 sm), L (antara 76 hingga 110 sm), sementara XL pula melebihi 110 sm dan selalunya dijadikan bonsai landskap,” katanya ketika ditemui di FLORIA, Selasa lalu.
Aktif secara serius dalam seni bonsai sejak sembilan tahun lalu, Aminulrazi berpendapat Malaysia mempunyai kehebatan dan kreativiti tersendiri bagi menghasilkan bonsai yang unik.
Selain bonsai kayu hitam, bonsai cucur atap antara produk bonsai diiktiraf dunia dan tidak diperoleh di mana-mana negara lain.
“Bonsai cucur atap memiliki kesenian yang cukup halus sama ada dari segi struktur, pergerakan pokok, bentuk daun, batang pokok serta lapisan kanopi sangat indah.
“Kebiasaannya pokok cucur atap tumbuh di kawasan pantai dan paya, terutama di pesisiran Terengganu dan banjaran seluruh negara.
“Sebagai pencinta bonsai, saya bertanggungjawab mencari pokok ini di habitat semula jadinya dan pencarian pokok asal bukanlah mudah. Contohnya, pokok pulau selalunya tumbuh di lokasi sukar seperti lereng bukit.
“Proses penggalian pokok asal memakan masa kira-kira dua jam, bukan hanya pokok perlu dibawa bahkan tanahnya sekali. Berdasarkan pengalaman saya, dalam setiap ekspedisi, paling banyak pokok berjaya diperoleh hanya empat batang.
“Selalunya struktur pokok asal yang diambil dari habitat semula jadinya jauh lebih ‘hidup’ dan asli berbanding struktur yang digayakan pencipta bonsai. Struktur bonsai asal dipengaruhi elemen alam terutama sinaran matahari dan tiupan angin membuatkan lebih ‘yamaduri’ (asli).
“Meskipun kita mencuba untuk membentuk struktur bonsai menyerupai ‘yamaduri’ menggunakan dawai, hasilnya tampak keras dan tidak asli.
“Penggayaan bonsai bergantung kepada strukturnya. Bonsai yang matang melalui fasa empat generasi merangkumi struktur pokok, pergerakan dahan, perantingan dan jejari.
“Setiap peringkat generasi memakan masa yang sangat lama, bahkan bonsai bersaiz S memakan masa tiga tahun untuk menjadi matang. Kematangan bonsai juga dilihat menerusi kematangan strukturnya seperti batang, akar dan dahan,”
Sumber metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan