ATLET olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Puzi dinobat Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018, awal pagi tadi.
Menurut laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), anugerah disampaikan Presiden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu, Mohamed Alhameli dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed pada majlis yang berlangsung di Dubai.
Atlet yang turut dikenali sebagai Dik Wan itu mencipta rekod dunia acara 100m lelaki T36 (celebral palsy) dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lalu.
Dia yang meraih tiga emas di Jakarta muncul atlet pertama Malaysia diberi pengiktirafan itu.
"Saya gembira dan berterima kasih kepada Jawatankuasa Paralimpik Asia kerana memberi penghargaan ini. Ia membakar semangat saya untuk terus melakar pencapaian lebih baik selepas ini," katanya.
Pada masa sama dia turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang memberi sokongan dan juga kepada Majlis Sukan Negara, jurulatih R Jaganathan dan Majlis Paralimpik Malaysia yang banyak membantu kariernya.
Pada temasya di Jakarta, atlet itu mencipta rekod dunia acara 100m lelaki T36 dengan masa 11.87 saat bagi memadam rekod dunia lama, 11.90s milik atlet Russia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.
Ridzuan juga meleburkan rekod Sukan Para Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m dan memadam rekod lama (5.45m) yang dilakukan Yang Yi Fei pada 2016.
Pada temasya sama, atlet yang mendapat bimbingan jurulatih Jaganathan itu turut merangkul emas acara 400m.
Sumber metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan