MADRID 26 Jan. - Misteri kehilangan kanak-kanak berusia dua tahun di Sepanyol akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam sebuah perigi buta sedalam 100 meter di sini, hari ini selepas 13 hari operasi menyelamat dilancarkan.
Julen Rosello dipercayai terjatuh ke dalam perigi itu dalam kejadian pada 13 Januari lalu ketika ibu bapanya sedang menyediakan makan tengah hari di kawasan yang terletak di pekan Totalan, Malaga.
Mayatnya ditemukan setelah operasi mencari dan menyelamat yang disertai lebih daripada 100 anggota penyelamat dilakukan tanpa henti sejak 13 hari lalu dan mendapat liputan meluas media negara ini.
Wakil kerajaan pusat, Alfonso Rodriguez Gomez de Celis menerusi laman Twitter beliau mengesahkan penemuan tersebut.
“Berita mendukacitakan Rosello ditemukan tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat setibanya mereka di lokasi kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi tadi. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa,” tulisnya.
Sebelum ditemukan, tiada tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak itu selamat namun anggota penyelamat dapat mengesan kedudukan sebenar mayat Rosello ketika berada dalam perigi itu.
Penyelamat menemukan helaian rambut dan beg berisi gula-gula di sekitar perigi sebelum menemukan mayat Julen di bahagian dasar perigi
Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez meluahkan kesedihan terhadap perkembangan tersebut menerusi perkongsian di laman Twitter beliau.
“Seluruh negara turut merasakan kesedihan yang dihadapi keluarga Julen.
“Kami menghargai usaha tanpa henti pasukan penyelamat sepanjang tempoh operasi pencarian dilakukan,” tulisnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan