SURI rumah berusia 24 tahun menjadi mangsa cabul lelaki dalam kejadian di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu Khamis lalu.
Kejadian dipercayai berlaku jam 11.45 pagi ketika mangsa bersama suaminya ke pasar raya berkenaan untuk membeli barangan keperluan harian.
Menurut sumber, mangsa bersama suami yang selesai memilih barangan kemudian beratur di kaunter untuk membuat pembayaran.
Katanya, mangsa yang sedang mengangkat barang di dalam bakul untuk diletakkan di atas kaunter terkejut apabila punggungnya dipegang.
“Mulanya mangsa menyangka perbuatan itu dilakukan suaminya namun ketika kejadian, suaminya berada di depannya sedang mengangkat beras.
“Ketika kejadian, suspek berada di belakang mangsa dan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada hari sama.
“Susulan laporan diterima, suspek berusia 61 tahun di tahan di rumahnya di Manir jam 4.15 petang hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Beliau berkata, suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan