Beri projek kepada sepupu



SEORANG bekas pegawai kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini, atas tuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat dimiliki sepupunya untuk projek pembekalan bantuan.
Kasrin Atchil, 57, yang ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sandakan pada jam 10.15 pagi semalam, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Kasrin didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Daerah Kinabatangan pada 29 Januari 2016 antara jam 2.30 hingga 4.15 petang di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kinabatangan.
Dia dituduh mengambil tindakan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (KZM) untuk menjadikan Syarikat Usaha Garunai Contractor sebagai pembekal bagi menyalurkan pembekalan bantuan melalui program KZM daerah Kinabatangan dengan nilai RM45,000.
Syarikat terbabit dimiliki sepupu tertuduh.
Tertuduh yang juga bekas Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan diwakili peguam, Majnah Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SRPM Sabah Awang Samsul Baharam Bungso.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Awang Samsul meminta mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dengan penjamin tempatan, namun Majnah meminta budi bicara mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM3,000 kerana tertuduh adalah penjawat awam yang mempunyai tanggungan iaitu isteri dan tiga anak.
Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan RM6,000 deposit dan seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 15 Mac ini bagi pengurusan kes.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...