'Ya, 1MDB memang ada masalah - Najib'



DATUK Seri Najib Razak mengakui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai masalah namun ia bukan sebab ekonomi negara menjadi teruk.
“Ya, betul. 1MDB memang ada masalah.
“Oleh itu, kerajaan BN (Barisan Nasional) menjalankan rasionalisasi ke atas 1MDB dan menandatangani perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) untuk mendapat semula wang yang dikatakan hilang,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.
Bekas perdana menteri itu menangkis dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan BN dahulu menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara.
Najib berkata, hutang 1MDB kini ialah sekitar RM30 bilion dan semua wang daripada 1MDB ialah daripada sumber pinjaman, bukan dari rizab kerajaan ataupun Petronas dan Khazanah.
“Hutang 1MDB hanya perlu dibayar dengan sepenuhnya pada 2039. Aset 1MDB juga besar nilainya.
“Satu perjanjian penyelesaian sudah ditandatangani dengan kerajaan Abu Dhabi untuk mendapatkan semula semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB sebelum 31 Disember 2020,” katanya.
Beliau berkata, (hutang) RM30 bilion itu jauh lebih rendah daripada RM82 bilion ‘dijarah’ dari PETRONAS dan hasil RM40 bilion hilang akibat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta ketika tempoh tiga bulan GST sifar tahun lalu.
“RM30 bilion adalah 4.3 peratus dari jumlah hutang rasmi kerajaan sebanyak RM686 bilion dan 2.22 peratus dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.35 trilion pada 2017,” katanya.
Beliau bertanya pula Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai skandal forex dengan RM33 bilion dari rizab negara hilang begitu sahaja pada 1993.
“Hutang 1MDB belum perlu dibayar, nilai asetnya masih tinggi dan ada usaha untuk mendapat kembali wang yang dikatakan hilang akan menjahanamkan ekonomi negara?
“Tetapi skandal forex di mana wang yang rugi tidak dapat dicari ataupun dituntut kembali, tidak ada aset ditinggalkan dan ia adalah peratusan yang amat besar dari KDNK negara tidak menjahanamkan ekonomi negara pula?
“Kerajaan PH perlu mengaku sahaja bahawa ekonomi menjadi teruk di bawah dasar dan kawalan mereka-bukan sebab 1MDB,” katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...