20 anggota JPJ menyamar penumpang bas



SERAMAI 20 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu sempena Tahun Baru Cina 2019.
Kaedah penyamaran itu dilakukan setiap hari di semua destinasi sepanjang Op Tahun Baru Cina (TBC) 2019 yang diadakan selama dua minggu bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini.
Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Mat Yasin berkata, kaedah penyamaran memberi kesan besar terhadap penguatkuasaan jalan raya dan ia terbukti apabila tidak ada rekod kesalahan yang dikesan dalam Ops TBC 2018 dilakukan pemandu bas ekspres.
“Dalam Op TBC 2018, anggota kita melakukan penyamaran dalam 52 bas manakala pada tahun ini, penyamaran sudah dibuat terhadap 10 bas dan angka itu akan meningkat sehingga tamat operasi.
“Tujuan penyamaran adalah bagi mengesan kesalahan pandu melebihi had, menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Setiap kesalahan itu akan dirakam dan saman dikeluarkan kepada pemandu sebaik bas berkenaan tiba di lokasi terakhir.
“Hasil penyamaran mendapati sehingga hari ini kita belum lagi mengeluarkan sebarang saman terhadap pemandu bas ekspres,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Ops TBC 2019 bagi Terengganu di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, malam tadi.
Katanya, bagi memastikan setiap bas yang beroperasi di musim perayaan selamat digunakan, JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap 68 bas ekspres di lima depot untuk memastikan ia mematuhi aspek keselamatan fizikal ditetapkan seperti brek, tayar dan lampu berfungsi dengan baik.
Zulkarnain berkata, selain penyamaran, pihaknya juga menggunakan beberapa kaedah lain bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya antaranya menerusi rakaman video daripada penguat kuasa, rondaan serta aduan orang ramai.
“Op TBC 2019 ini membabitkan seramai 72 pegawai dan anggota dengan menyasarkan penurunan kes kemalangan motosikal kepada 60 peratus sepanjang operasi.
“Motosikal adalah penyumbang utama peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap kali musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata, dalam pada itu, pihaknya akan memfokuskan tujuh kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan serta memandu di lorong kanan secara berterusan bagi bas dan kenderaan perdagangan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi undang-undang ini, yang mana pesalah akan didakwa di mahkamah dan dikenakan denda maksimum RM2,000,”





sumber metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...