Tandas awam Rantau Abang terbaik di ASEAN



“SAYA terkejut dan tidak menyangka tandas ini diiktiraf sehingga ke peringkat ASEAN,” kata Faridah Sariman, 46, selepas tandas awam Rantau Abang yang dijaganya itu diiktiraf sebagai tandas terbaik kategori ASEAN Public Toilet Standard 2019 — 2021 sempena ASEAN Tourism Forum 2019 yang diadakan di Ha Long City, Vietnam, Sabtu lalu.
Faridah berkata, sebelum itu tandas terbabit pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah perak kategori tandas pelancongan terbaik sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia di Kuala Lumpur pada 2016.
“Pada 2017 dan 2018 tandas ini menjadi juara sempena anugerah Pihak Berkuasa Tempatan PBT negeri Terengganu dan saya sangat bangga.
“Saya menjaga tandas ini seperti rumah saya sendiri dan sepanjang 365 hari saya akan pastikan tandas ini dibuka dan berada dalam keadaan bersih dan segar,” katanya.
Faridah berkata, dia dan suaminya Zainuddin Mat Ali, 44, akan membersih tandas itu tiga kali sehari bagi memastikan tandas awam terbabit tidak mendatangkan masalah kepada pengunjung.
“Saya diberi kepercayaan oleh Majlis Perbandaran Dungun MPD untuk menjaga dan memastikan tandas terbabit bersih sejak enam tahun lalu.
“Saya jadikan kebersihan tandas ini sebagai rumah saya sendiri kerana saya dibayar oleh MPD dan saya tidak pernah menutup tandas ini,” katanya.
Dia berkata, dia bukan sahaja menekankan aspek menjaga persekitaran dalaman tandas malah kawasan luar serta lanskap pokok-pokok bunga yang turut dibaja supaya tumbuhan itu kelihatan segar sepanjang masa.
“Saya tidak pernah mengharapkan kerja kuat saya ini dipandang tinggi dan saya sangat bangga apabila tandas ini beberapa kali dinobatkan sebagai tandas terbaik.
“Tugas saya adalah untuk memastikan tandas ini bersih, tidak berbau damendapat pencahayaan dan pengudaraan yang baik,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menggunakan sebarang pewangi di dalam tandas terbabit sebaliknya menggunakan kaedah tradisional bagi menghilangkan bau.
“Saya gunakan daun pandan serta bunga rampai dan saya letak di dalam tandas sebagai menyah bau busuk dan kaedah itu mendatangkan kesegaran persekitaran tandas,” katanya.
Faridah berkata, kemenangan yang dikecapi itu membuatkan dia bertambah semangat untuk memastikan tandas jagaanya itu bersih dan tidak busuk.
“Walaupun kerja saya ini dipandang rendah oleh masyarakat, namun ianya tidak menjadi halangan kepada saya untuk menjadi pencuci tandas yang dedikasi,” katanya.
“Saya banyak menerima komen positif daripada peti cadangan yang saya sediakan dan itu menjadi sumber motivasi kepuasan dan pengiktirafan terhadap kerja keras saya ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha MPD, Fadli Yusof Zakaria, 16 tandas awam dari seluruh Malaysia tercalon untuk penganugerahan tersebut dan tandas awam Rantau Abang merupakan satu-satunya tandas dari Pantai Timur yang tersenarai daripada lima tandas terbaik bagi kategori tersebut.
Katanya, turut terpilih adalah tandas awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tandas awam restoran Foh San dari Perak, tandas Masjid Cina Melaka, dan tandas awam Plaza Merdeka, Sarawak.
“Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Sukan, dan Pelancongan Vietnam; Nguyen Ngoc Thien.
“Anugerah itu merupakan satu pengiktirafan kepada MPD selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyelia tandas Rantau Abang dan juga seluruh warga Dungun, “katanya.
Menurutnya, sebanyak 17 tandas awam di daerah ini telah dinaiktaraf dan dibaik pulih sejak tahun 2013 dalam usaha menjadikan tandas awam di daerah ini sebagai tandas terbersih.
“Kesemua penjaga tandas kami terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah termasuk ibu tunggal.
“Kita berharap kesemua tandas awam dapat mencontohi tandas Rantau Abang ini dan semua lapisan masyarakat memainkan peranan dalam memastikan tandas di negeri ini sentiasa bersih serta bebas dari vandalisme,” katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...