MAHU memberikan yang terbaik buat peminatnya, siapa sangka ada kisah berbeza yang timbul di sebalik pembikinan muzik video lagu terbaharu Siti Sarah Raisuddin, Semakin.
Kongsi Siti Sarah, dia sendiri tidak tahu akan perkongsian komen dalam laman sosial sebelum ini mengundang pelbagai spekulasi yang tidak benar.
Dikatakan cerewet sehingga menyebabkan video muzik tersebut terpaksa dirakam semula, jelas Sarah bukan itu yang berlaku.
“Saya baru sahaja tahu akan hal ini sebenarnya. Apa yang boleh saya katakan, segala yang cuba disampaikan itu adalah fitnah sebab sepanjang penggambaran berjalan tidak timbul masalah.
“Saya anggap apa yang cuba dilakukan pihak ini adalah untuk memalukan kami. Tentunya kami akan menyiasat apa yang berlaku,” katanya tenang.
Tidak menolak ada bahagian video muzik itu yang memerlukan penggambaran semula, namun kata Siti Sarah, semuanya berlaku dengan persetujuan memandangkan ia melibatkan isu teknikal.
“Saya bukan cerewet tapi saya akui memang ada babak yang perlu dirakam semula. Cuma bukan melibatkan kesemua babak.
“Saya tidak tahu apa tujuan pihak ini melemparkan kata-kata itu. Sepatutnya dia bincangkan perkara ini dengan kami dahulu sebelum menyebarkannya dalam laman sosial,” katanya lagi.
Berpeluang menggunakan khidmat pelakon kacak Syafiq Kyle dalam video muzik ini, Siti Sarah akui bintang tersebut banyak membantunya menyampaikan ekspresi dalam lakonan.
“Memang saya teruja untuk berlakon di samping Syafiq. Saya dan suami mengakui dia seorang pelakon yang sangat berbakat. Sepanjang penggambaran dia banyak membantu.
“Saya juga tidak tahu rupanya ini kali pertama Syafiq terlibat dalam video muzik. Saya anggap ini adalah rezeki untuk saya juga,” katanya yang memang meminati lakonan pelakon tersebut.
Mengakui janggal untuk berlakon selaku isteri Syafiq, namun kata Siti Sarah, dia sebenarnya cukup bertuah mendapatkan pelakon drama bersiri Nur itu untuk membawakan watak suaminya.
“Memanglah janggal sebab kita sudah biasa dengan suami. Tetapi apa yang boleh kongsikan Syafiq adalah seorang yang sangat profesional.
“Dalam keadaan itu dia mampu membuatkan saya berasa sangat selesa dengan dirinya walaupun sepanjang waktu itu suami saya berada di belakang kamera,” jelasnya.
Berkongsi kisah berbeza mengenai pembikinan video muzik ini, Siti Sarah memberitahu, anak keduanya Dzahira Talita Zahra turut menangis melihat babak Syafiq menarik tudungnya.
“Saya tanya dia kenapa menangis, tetapi dia hanya diam tidak memberitahu sebab.
“Mungkin dia ingat babak itu benar-benar berlaku dan dia takut saya dikasari Syafik,” jelasnya sambil tertawa.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan