BRASILIA 26 Jan. - Pasukan penyelamat Brazil bertungkus lumus mencari kira-kira 300 orang yang dilaporkan hilang dalam insiden empangan runtuh di sebuah lombong bijih besi di tenggara negara ini, semalam.
Gabenor tempatan berkata, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan di Belo Horizonte, negeri Minas Gerias ketika menyifatkan peluang mangsa terselamat adalah tipis.
Kira-kira 100 anggota bomba dikerah untuk membantu usaha menyelamat mangsa ketika limpahan deras lumpur daripada empangan tidak aktif itu menuju pekan Brumadinho yang dihuni kira-kira 39,000 orang penduduk.
Namun, air berlumpur itu hanya melalui jalan raya, kawasan pertanian selain merosakkan jambatan dan rumah penduduk.
Jurucakap bomba tempatan berkata, menjelang awal pagi ini, angka rasmi korban insiden itu meningkat kepada sembilan orang dengan hampir 300 orang hilang.
Katanya, lebih 150 yang hilang itu merupakan kakitangan pentadbiran syarikat gergasi perlombongan negara ini, Vale yang terletak berdekatan dengan kawasan kejadian.
Gabenor Minas Gerais, Romeu Zema berkata, sebanyak 427 orang dikatakan bekerja di lombong tersebut ketika kejadian berkenaan namun 279 mangsa berjaya diselamatkan manakala baki selebihnya disenaraikan sebagai hilang.
“Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari mangsa dan bermula saat ini, peluang menemui mangsa terselamat adalah tipis dan kemungkinan kita hanya akan menemukan mayat sahaja,” katanya.
Vale sebelum ini turut terpalit dengan insiden serupa di negeri ini pada 2015 yang meragut 19 nyawa dan dianggap bencana alam sekitar terburuk Brazil.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vale, Fabio Schvartsman, beliau menyifatkan insiden ini sebagai ‘tragedi manusia’ dan menerima hakikat akan lebih banyak kematian pekerja syarikat mereka.
“Kita bercakap mengenai sejumlah besar mangsa, kami tidak tahu berapa ramai tetapi kami pasti ia jumlah yang tinggi,” kata Schvartsman.
Tambah Schvartsman, empangan itu ‘tidak aktif’ dan dalam proses untuk dihentikan operasinya.
Sementara itu, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dan Menteri Pertahanannya, Fernando Azevedo e Silva dijadual melawat kawasan kejadian hari ini selepas melancarkan penyelarasan bencana melibatkan Kementerian Pertahanan, Perlombongan dan Alam Sekitar serta pihak berkuasa di Minas Gerais.
Sementara itu, beberapa anggota keluarga mangsa menuntut pihak berkuasa memberikan maklumat terkini berhubung kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan