Tindih ibu



Tumpat: Bahana dadah, seorang lelaki berusia 36 tahun tergamak mengasari ibu angkatnya dengan memaut leher dan menindih badan mangsa menggunakan lututnya.
Akibat perbuatan itu muka mangsa bengkak akibat terjatuh, bibir lebam, telinga kiri cedera dan berasa sakit pada leher.
Lelaki berkenaan bertindak agresif selepas dituduh mengambil wang tunai milik mangsa berjumlah RM150 dalam kejadian di Kampung Kebakat di sini, pagi Sabtu lalu.
Fatimah Awang, 72, berkata, dia menyedari kehilangan wang berkenaan yang disimpan di dalam almari selepas melakukan pemeriksaan.
Katanya, ketika itu dia bersiap untuk keluar menjual kuih di Pasar Siti Khatijah, Kota Bharu.
“Saya mengetuk pintu biliknya namun tidak bersahut. Kemudian saya mengetuk pintu bilik anak angkat menggunakan tukul sebelum dia keluar.
“Kemudian saya bertanya mengenai wang itu dan hanya meminta RM50 untuk membayar tambang kereta sewa ke Kota Bharu namun dia menafikan.
“Dia terus memaut leher saya dari belakang menyebabkan saya jatuh tersembam. Lututnya menindih belakang bahu saya dan ketika itu dia terus berkeras menafikan mengambil wang berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Susulan kejadian itu, Fatimah membuat laporan polis Ahad lalu, sebelum lelaki itu ditahan, kelmarin.
Ketika ditahan polis, suspek mengeluarkan kata-kata ugutan akan mencincang individu yang membuat laporan terhadapnya.
“Sudah banyak kali duit saya hilang, selain itu anak angkat juga disyaki ambil barang kemas saya untuk digadai,” dakwanya.
Fatimah yang tinggal bertiga bersama suami, Ibrahim Mat, 80, dan anak angkatnya itu berkata, lelaki berkenaan terbabit dalam aktiviti penagihan dadah sejak remaja.
Dakwanya, anak angkatnya itu sudah beberapa kali dicekup polis dan pernah menjalani proses pemulihan dadah.
“Nampaknya dia belum serik apabila masih mengulangi perbuatan dan kekal dengan tabiat lamanya,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek disahkan positif dadah methampetamine.
“Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah, katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...