Itulah gemilangnya sosok lelaki bernama Zamani Ibrahim, 47. Sehingga kini keperibadiannya masih menjadi bualan ramai, auranya juga tiada pengganti.
Menelusuri perjalanan pemilik lagu Gerimis Mengundang ini sepanjang 26 tahun berkelana sebagai anak seni dalam lapangan kerjaya muzik tanah air sememangnya tidak akan pernah habis.
Terlalu banyak cerita suka duka dan jatuh bangun telah dilalui dalam industri. Namun, ironinya buah mulut itu tidak pernah sesekali mematikan kesuburan lagu-lagu hits miliknya yang sehingga kini masih bertahan.
Malah, tidak salah jika dikatakan untaian lagu-lagu hits nyanyian Zamani sewaktu bersama Slam masih kekal menjadi legasi muzik yang akan dikenang sepanjang zaman.
Masa silih berganti, usia semakin meningkat dan kudrat pula tidak selamanya cergas. Akur dengan peredaran masa, Zamani akui semakin diburu kesakitan dan memerlukan rawatan segera untuk meneruskan kerjaya.
“Tahap kesihatan saya sekarang tidak menentu, kadang-kadang baik dan sihat seperti orang lain tapi adakalanya ia mengganggu tugas harian saya.
“Sekarang saya bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor, namun setakat ini saya masih belum berjumpa dengan mana-mana pakar,” jelas Zamani.
Tidak berniat untuk mengabaikan tahap kesihatan yang dialaminya sekarang, menurut Zamani, dia menerima banyak tawaran perubatan daripada pelbagai pihak termasuk peminat-peminat sendiri.
“Peminat saya terlalu prihatin, terlalu ramai yang mahu taja kos rawatan sehinggakan saya takut nak terima pelawaan mereka.
“Bukan tak sudi, tapi saya takut jika terima satu tawaran, apa pula kata mereka yang lain, jadi lebih baik biar saya sendiri yang mengusahakannya.
“Lebih mengejutkan ada seorang doktor dari sebuah pusat rawatan di Setiawangsa, Kuala Lumpur menghubungi saya dan memberitahu ada seorang peminat telah membuat bayaran untuk saya menerima lapan kali terapi di tempat dia bekerja,” luah Zamani yang begitu terharu dengan keprihatinan peminatnya itu.

Tubuh syarikat sendiri

Melihat keupayaan diri yang semakin beransur hilang, Zamani berazam untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurusan sendiri iaitu ZIME Production.
“Syarikat itu adalah usahasama antara saya dan ahli keluarga yang lain. Ia wujud ekoran tahap kesihatan saya yang membimbangkan sekarang.
“Saya tak tahu sampai bila boleh bertahan dengan kesakitan yang dihadapi. Jadi keluarga mencadangkan saya menubuhkan sebuah syarikat untuk masa depan kelak,” katanya.
Selain menguruskan dirinya sendiri, ZIME Production juga akan mengendalikan semua urusan berkaitan produk yang dihasilkan di bawah jenama Zamani.
“Wujudnya syarikat ini bukan bermakna saya mempunyai masalah dengan pengurusan syarikat lama iaitu Johan Music.
“Tidak, saya tiada apa-apa masalah dengan mereka, malah saya sangat berterima kasih kepada Johan (pengurus lama) kerana banyak membantu saya selama ini,” luah Zamani.