SEORANG penagih dadah sanggup menipu isterinya konon dia dipukul sehingga mati sebelum mayat dibuang ke lokasi tidak diketahui dipercayai akibat masalah hutang apabila sewa rumah diduduki tertunggak selama tiga bulan.
Malah, dua lelaki yang mendakwa rakan lelaki terbabit datang bertemu dengan isterinya berusia 26 tahun di kediaman mereka di Taman Spice Village, Sungai Petani, pada 12.30 tengah malam 22 Januari lalu memaklumkan suaminya dipukul sebelum mayatnya dicampak ke lokasi tidak diketahui.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, isterinya yang bimbang dengan keselamatan suaminya kemudian memaklumkan kepada keluarga sebelum mereka membuat laporan polis.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan dan mencari mayatnya di sekitar kawasan Darul Aman Perdana selepas menerima maklumat kononnya mangsa dibuang di situ.
“Bagaimanapun polis gagal menemui mayat lelaki terbabit sehinggalah satu lagi laporan polis dibuat bapa mentuanya pada 11 malam tadi.
“Bapa mentuanya memaklumkan menerima maklumat daripada penduduk Flat Paya Nahu mengatakan lelaki itu berada di sana dan polis terus ke lokasi itu sebelum menahannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Adzli berkata, hasil siasatan lelaki itu memaklumkan dia keluar dari rumah pada 19 Januari dan memberitahu isterinya dia ke flat itu untuk membersihkan rumah kosong bagi dijadikan tempat tinggal bersama anak kerana rumah sewa diduduki sekarang sudah tidak dibayar selama tiga bulan.
Beliau berkata, suspek yang bekerja buruh binaan dengan mengambil upah daripada orang lain didapati positif dadah methamphethamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
“Semakan mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitkan dadah, orang dikehendaki, ceroboh dan mencuri.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan