DUA anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Jeffrey Jins dan Hang Tuah @ Shazrin memfailkan saman terhadap anak ketiga arwah, Putera Hang Jebat atas dakwaan memalsukan dokumen surat wakil sebidang tanah seluas 0.265 hektar yang terletak di Kampong Pasir, Gombak.
Hang Tuah @ Shazrin, 45, atau nama sebenarnya Hang Tuah @ Shazrin Mohamed Jin berkata, tanah itu dijual dengan harga RM2.75 juta pada 2015 kepada seorang individu iaitu Barakatul Kamaria Ahmad yang turut dinamakan sebagai defendan ketiga.
“Tanah ini dijual tanpa pengetahuan saya. Perkara ini terbongkar apabila saya membuat semakan status tanah di Pejabat Tanah dan Galian Gombak pada 2015. Ini pun atas nasihat peguam. Saya dimaklumkan, tanah itu sudah dijual kepada individu lain.
“Saya mengesyaki penjualan tanah itu menggunakan tanda tangan palsu arwah. Sedangkan arwah disahkan menghidap penyakit Alzheimer pada 2011. Mustahil arwah boleh menurunkan tanda tangan dengan kemas.
“Disebabkan itu, saya meminta peguam untuk berhubung dengan peguam Jebat bagi membincangkan perkara ini. Namun, tidak ada sebarang maklum balas daripada pihak mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Sehubungan itu, Jeffry dan Tuah membuat laporan polis masing-masing pada 31 Ogos 2017 dan 5 September 2017.
Tuah yang ditemui pada sidang media di pejabat guamannya di Kota Damansara, hari ini, berkata tuntutan itu bagi memberi keadilan kepada semua anak arwah.
“Ini adalah jalan terakhir bagi mendapatkan keadilan semua pihak. Saya dan Jeffrey tak dapat satu sen pun. Memandangkan Jeffrey menetap di Singapura, jadi apa yang dibuat ini pun untuk dia juga selaku anak sulung.
“Sejujurnya, sedih apabila terjadi perkara ini. Sepatutnya tak perlu pun sekiranya mendapat kerjasama daripada pihak Jebat.
“Dalam masa sama, semasa hayat arwah iaitu ketika masih sihat, dia memang berniat untuk bahagikan harta sama rata,” katanya.
Saman yang difailkan pada 3 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu antara lain menuntut perintah Surat Kuasa Wakil adalah terbatal atau tidak sah, pindah milik hartanah kepada defendan ketiga adalah tidak sah, pindah milik semula hartanah kepada plaintif dan ganti rugi.
Tiga defendan yang dinamakan adalah Putera Hang Jebat Mohamed Jin, Rosal Azimin Ahmad (peguam) dan Barakatul Kamaria Ahmad (pemilik tanah sekarang).
Pengurusan kes ini pada 7 Februari di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jeffrey adalah anak sulung hasil perkahwinan arwah dengan pelakon kelahiran Allahyarham Rahmah Rahmat.
Hang Tuah pula adalah anak kedua arwah hasil perkahwinan dengan Jamilah Shukor pada tahun 1973.
Arwah juga mempunyai dua lagi anak lelaki iaitu Putera Hang Jebat, 32, dan Putera Hang Nadim, 29, hasil perkahwinan dengan Puan Sri Halijah Abdullah.
Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan daripada Hang Jebat gagal apabila panggilan tidak berjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan