Gambar Altantuya bersama Razak Baginda dan Najib dipertikai



SEPUPU mendiang Altantuya Shaariibuu mendakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa gambar sebenar wanita itu bersama teman lelakinya Abdul Razak Baginda dan Datuk Seri Najib Razak mungkin sudah tiada lagi.
Namun, Burmaa Oyunchimeg, 37, berkata, ada melihat foto yang memaparkan Altantuya duduk bersama dua lelaki itu sambil tersenyum dan bukan gambar yang sebelum ini pernah tular di Malaysia.
“Saya melihat album gambar itu ketika di Ulan Bator, Mongolia. Terdapat ratusan gambar percutian di Perancis bersama Abdul Razak, termasuk ketika mereka dalam kereta Ferrari.
“Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada gambar itu dan tidak boleh mengemukakannya ke mahkamah.
“Penyiasat persendirian, Ang Chong Beng yang diupah Altantuya juga ada melihat gambar ini,” katanya ketika menjawab soalan pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Jasmee Hameeza Jaafar.
Bagaimanapun, apabila dicadangkan bahawa gambar itu sebenarnya tidak wujud, Burmaa menyatakan tidak setuju.
Terdahulu, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Abdul Razak Baginda mempertikaikan keterangan Burmaa berhubung gambar itu.
“Dalam keterangan anda di mahkamah, anda mendakwa ada bertanya Altantuya siapa dua individu di dalam gambar itu sedangkan sudah mengenali Abdul Razak lebih awal.
“Kamu mengikuti percutian mereka ke seluruh dunia oleh itu adalah mustahil tidak mengenalinya apabila melihat gambar itu,” katanya.
Burmaa dalam keterangannya mengakui tersilap membuat kenyataan itu di dalam pernyataan saksinya dan mendakwa mengenali wajah Abdul Razak sehingga kini.
Sementara itu menjawab soalan balas oleh Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya, berhubung gambar tular membabitkan Najib dan Abdul Razak sebelum ini, Burmaa mengatakan ia adalah gambar palsu.
“Saya ada melihat gambar tular itu, bagaimanapun wanita yang dipaparkan bukan Altantuya. Gambar lelaki yang sama tetapi wanita itu bukan Altantuya. Saya tidak mengenalinya.
“Ia menggunakan teknik pertindihan gambar teruk yang pernah saya lihat,” katanya.
Berhubung kewujudan perjanjian antara Altantuya dan Abdul Razak berhubung pembayaran kerja terjemahan yang dilakukan, Burmaa menafikan dia berbohong berhubung perkara itu.
Bagaimanapun mengakui bahawa dia tidak pernah melihat perjanjian itu.
Terdahulu Burmaa memberitahu mahkamah bahawa Altantuya ada memaklumkan berhubung tindakannya mengambil perkhidmatan penyiasat persendirian bernama Ang.
“Saya tidak pasti bila tetapi saya tahu dia ada melantik Ang selepas tidak dapat mencari dan menghubungi Abdul Razak.
“Abdul Razak menghilangkan diri secara tiba-tiba. Saya ada menerima khidmat pesanan ringkas daripada Abdul Razak yang tidak mahu lagi berjumpa Altantuya dan saya maklumkan perkara itu kepada dia (Altantuya),” katanya.
Burmaa berkata, dia ada bertanya kepada Altantuya apa sebenarnya berlaku dan dimaklumkan berlaku salah faham kecil antara mereka berdua.
“Altantuya minta saya tidak menjawab khidmat pesanan ringkas itu kerana mahu menyelesaikan masalah itu sendiri.
“Dia beritahu tiada apa yang perlu dirisaukan. Mereka berdua mempunyai hubungan, saya sebagai adik tidak mahu masuk campur ketika itu,” katanya.
Burmaa memberi keterangan dalam kes saman yang dikemukakan oleh Shaariibuu Setev, 68, bersama isterinya Altantsetseg Sanjaa, 68, dan anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, 21.
Mereka menamakan Cif Inspektor Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Keluarga Altantuya diwakili peguam Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh, manakala Azilah dan Sirul Azhar tidak diwakili peguam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...