Tuntutan palsu: Bekas ADUN DAP mengaku tak salah



BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 bagi program kemasyarakatan, empat tahun lalu.
Tertuduh, Loh Chee Heng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, dia yang ketika itu ADUN Telok Datok didakwa menggunakan dokumen Kelulusan Pengeluaran Peruntukkan dan Kertas Kerja mengenai program Sambutan Hari Guru Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datok yang mengandungi butiran palsu iaitu permohonan pengeluaran peruntukkan RM13,380 bagi program yang tidak dilaksanakan itu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen sama mengenai program Pesta Tang Lung Tahun 2015 yang membabitkan permohonan peruntukkan RM20,000.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Daerah Kuala Langat, Kuala Langat pada 8 Jun dan 23 September 2015.
Justeru, Loh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Suffian Ja'afar menawarkan kos ikat jamin berjumlah RM50,000 bagi setiap pertuduhan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Keppy Wong yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak guamnya kini tiada pekerjaan tetap selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.
Mohd Sabri kemudian membenarkan kos ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Februari depan.
NSTP melaporkan Loh yang menjadi ADUN Telok Datok (kini kawasan itu dikenali DUN Banting) sejak 2013 hingga tahun lalu itu ditahan bagi membantu siasatan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 3 petang semalam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...