PEMIMPIN PKR mendakwa ada Tok Batin dikampung Orang Asli telah ‘diculik’ pihak tertentu sehingga menyukarkan Pakatan Harapan (PH) turun berkempen di kawasan penempatan mereka.
Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh, mendakwa ada juga Tok Batin yang menyatakan tidak berani untuk memberi kerjasama dengan jentera PH sepanjang tempoh berkempen bermula 12 Januari lalu.
“Hari ini saya dengar ada Tok Batin sudah kena ‘kidnap’ (culik). Kita pergi kampung pun Tok Batin sudah hilang, tinggal anak buah saja. Tidak tahulah mana dia bawa pergi, saya pun tidak tahu.
“Ada juga kampung saya pergi Tok Batin kata kami takut, nanti Menteri Besar yang saya (mereka) kenal dari kecil nanti, marah sama kami (mereka) dan tidak lagi bagi itu dan ini,” katanya ketika berceramah di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Difahamkan, dakwaan Fuziah itu merujuk kepada beberapa program membabitkan pemimpin utama PH terutama PKR di kawasan Orang Asli di sekitar Tanah Rata, yang terpaksa diubah pada saat akhir, selepas usaha untuk berkempen di kawasan itu tidak mendapat kerjasama daripada Tok Batin.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkunjung ke Cameron Highlands semalam, dijadual mengadakan kunjungan mesra ke rumah penduduk Orang Asli di Kampung Ruil, di sini, namun terpaksa dibatalkan sebelum program itu ditukar ke penempatan Orang Asli di Pos Terisu.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini bukan pertembungan antara dua calon, sebaliknya ia membabitkan saingan kerajaan pusat diterajui PH dan Barisan Nasional (BN), yang menerajui kerajaan negeri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan turut mendakwa keputusan kerajaan negeri Pahang memberi kelulusan pengeluaran 73 permit kepada petani sebagai tidak adil.
“Hari ini Menteri Besar (Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) luluskan 73 permit yang dikeluarkan beliau kepada pekebun sayur. Tetapi jumlah pekebun sayur di Cameron Highlands ada 2,200 orang. Adil ke?
“Dia (Menteri Besar) beri (permit itu) dalam kawasan hutan simpan kekal. Kalau apa-apa berlaku orang Cameron Highlands juga yang susah. Sepatutnya, sudah lama BN kena bagi tanah kepada pekebun sayur,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan