Katanya, kejayaan BN itu tidak sama sekali mencerminkan sokongan masyarakat terhadap parti berkenaan semakin bertambah kerana melalui kajian yang dilakukan, peratusan undi Melayu dan Orang Asli telah beralih kepada Pakatan Harapan (PH).
"BN cakap telah mencapai kejayaan besar namun bagi saya bila dikaji, keputusannya adalah mereka hanya berjaya mempertahankan sokongan kerana ia (keputusan) dicampur undi daripada penyokong Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, sekali gus menjadikan jumlah majoriti meningkat.
"Mereka (BN) nampak sokongan masyarakat terhadap parti itu sudah terjejas, oleh itu mereka atasi dengan meletakkan calon BN. Selama ini diketahui sejak 2008 atau sebelumnya, kerusi itu ditandingi MIC dan kalau letak calon India di situ, mungkin keputusan berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jejak Sisiran Putrajaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Mohd. Nor diumum menang dalam PRK semalam.
Ramli menang dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi Datuk C. Sivarraajh dalam PRU-14 pada Mei lalu.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, taktik BN menggunapakai isu kaum dan agama sepanjang berkempen di parlimen berkenaan tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada PH.
"Walaupun pengundi bukan Melayu kurang keluar mengundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, sokongan terhadap PH kekal dan jumlah undi juga bertambah.
"Saya tidak nampak mengapa BN lihat sebagai kemenangan besar kerana Cameron Highlands adalah kubu kuat mereka dan belum pernah dimenangi parti lain selain BN. Namun keputusan pasti berbeza sekiranya pengundi bukan Melayu keluar mengundi dan kebarangkalian untuk PH menang mungkin tinggi," katanya.