BAGI Nadia Khairun Nisa Yusof berada di samping ‘Awang’ memberikannya satu ketenangan dan kegembiraan yang cukup luar biasa.
Keakraban gadis berusia 17 tahun itu dengan Awang, tidak ubah seperti kata pepatah ‘bagai isi dengan kuku’.
Masakan tidak, Nadia sudah bergelumang dengan Awang sejak bapanya, Yusof Mohammad, 47, membeli kerbau balar berwarna merah jambu yang ketika itu baru berumur setahun daripada penternak di Kuala Berang hingga Nadia mendapat jolokan ‘Gadis Kerbau Pink’.
Kerbau itu yang kini berusia enam tahun bagai sudah memahami makna setiap gerak geri Nadia, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tong di Kuala Nerus, apabila mereka bersama.
“Awang ni memang rapat sungguh dengan saya, sebab dah jadi rakan sepermainan kira-kira enam tahun lalu, dah jadi rutin setiap kali lepas balik sekolah pukul 3 petang, Awanglah yang saya akan tujui dulu di kandang.
“Saya beri dia makan, mandikan dia, bawa dia ke padang untuk meragut rumput dan berkubang sebelum balik ke rumah menjelang senja.
“Kalau tak jumpa Awang sehari saya rasa macam kehilangan sesuatu, tak senang duduk.
“Tak dapat saya bayangkan perasaan jika terpaksa berpisah dengannya suatu hari nanti,” kata anak kedua dari empat beradik itu ketika ditemui di kandang kerbau milik bapanya di Kampung Gemuruh di Kuala Nerus.
Foto Nadia beraksi bersama Awang mencuri perhatian netizen selepas beberapa keping foto seorang lagi kanak-kanak, Syukor Khamis, 14, bersama sekawan kerbau peliharaan bapanya tular baru-baru ini.
Foto yang dikongsi di laman Facebook Amazing Terengganu itu sekali lagi mendapat perhatian ramai kerana keunikan Awang yang bukan sahaja bertubuh ‘sado’ dengan berat 760 kilogram, tetapi juga berwarna merah jambu, berbeza dengan warna biasa kerbau yang kelabu tua dan hitam.
Lebih istimewa, Nadia yang adalah generasi kelima keluarga penternak kerbau di kampung itu turut mempunyai kemahiran melapah daging kerbau, lembu dan rusa yang dipelihara bapanya untuk dijual kepada pelanggan.
Ditanya apakah dia tidak bosan dengan rutin hariannya bergelumang dengan haiwan itu, Nadia yang bercita-cita menjadi doktor haiwan berkata itu lebih memberi ketenangan dan kegembiraan padanya berbanding aktiviti sesetengah gadis seusianya yang lebih berminat menjaga kecantikan dan berinteraksi di media sosial.
“Dok rajin pun main ‘handfond’ tapi guna bila perlu saja sebab menghabiskan masa bersama Awang dan anaknya Putih.
“Ibu dan bapa pun lebih senang hati lihat saya menghabiskan masa di kandang berbanding melakukan perkara kurang berfaedah,” katanya yang turut aktif dalam sukan bola jaring di sekolahnya.
Sementara itu, Yusof berkata hanya Nadia yang betul-betul berminat menjaga kesemua haiwan ternakannya berbanding anak-anak yang lain sehinggakan Awang yang dahulu agak liar berjaya dijinakkan oleh Nadia.
“Tidak ada rahsia atau kemahiran tertentu yang saya ajar padanya untuk jinakkan Awang, tapi yang saya tahu, Nadia memang suka dengan kerbau ‘pink’ ini sejak hari pertama saya bawa balik ke kandang ini,” kata Yusof.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan