Kesepakatan negara penting menangani rasuah



MENGGUNAKAN pentas dunia, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa untuk memerangi jenayah rasuah apabila wang mudah dipindahkan berikutan sempadan yang longgar.
Menyampai ucaptama di Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Persatuan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC), di Vienna, hari ini, Perdana Menteri memberikan contoh pengalaman Malaysia apabila sejumlah dana dari skandal 1MDB diubah secara haram ke Amerika Syarikat.
“Kesepakatan antara negara amat penting supaya wang tidak mudah dipindah kerana jenayah tidak terhad di dalam sesebuah negara sahaja.
“Saya mempunyai harapan yang cukup tinggi bahawa IAACA akan terus bertemu dan mencari jalan bagi menangani rasuah dan penyelewengan yang lebih berkesan,” katanya.
Dr Mahathir adalah pemimpin Malaysia pertama dijemput menyampaikan ucaptama pada IAACA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung dalam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menentang rasuah.
IAACA berpusat di Qatar kini mempunyai 140 negara anggota. Ia adalah kemuncak acara sempena lawatan kerja tiga hari Dr Mahathir ke Vienna sejak semalam.
Dalam ucapan hampir 40 minit itu, Dr Mahathir turut menghuraikan bagaimana rasuah dan kerajaan kleptokrasi merosakkan ekonomi negara yang satu ketika dulu pernah digelar Harimau Asia.
Beliau berkata, disebabkan bekas perdana menteri Malaysia sendiri pernah menjadi pemimpin yang korup, pentadbiran kerajaan menjadi lemah sehingga melembapkan pembangunan negara.
“Justeru yang paling utama kepemimpinan tidak boleh korup, jika pemimpin korup seluruh negara itu akan korup.
“Malaysia hari ini selepas kerajaan baharu mengambil alih terpaksa membuat pembetulan yang besar babitkan semua sistem pentadbiran kerajaan yang sudah rosak akibat salah laku pemimpin dan gejala rasuah,” katanya.
Sementara itu, IAACA memberi penghargaan tertinggi apabila menamakan dana membantu anggota badan penguat kuasa anti-rasuah yang dianiaya ketika menjalankan tugas sebagai Dana Dr Mahathir Mohamad.
Presiden IAACA, Dr Ali Fetais Al-Marri berkata, idea penubuhan dana berkenaan dicetuskan sendiri Dr Mahathir.
Malaysia sebelum ini mengumumkan sumbangan RM500,000 untuk dana berkenaan manakala kerajaan Qatar sebanyak 1 juta Riyal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...