Kota Bharu: Premis atau kedai makan bukan Islam yang
menggunakan perkataan berunsurkan Islam pada papan tanda di premis
masing-masing akan diambil tindakan.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan Khalid Tik berkata, ia termasuk
logo atau gambar yang melambangkan Islam sedangkan ia premis bukan Islam.
“Contoh nama kedai yang digunakan adalah Bismillah atau
menggunakan logo kubah masjid, sedangkan ia kedai bukan Islam, maka pemiliknya
akan diberi amaran terlebih dahulu sebelum diambil tindakan lanjut.
“Kami tidak mahu pemilik premis bukan Islam mempergunakan
nama Islam untuk menarik pelanggan menyebabkan orang ramai terpedaya dengan
imej luaran kedai,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Bagaimanapun, Khalid memaklumkan penggunaan nama premis
berunsurkan Islam adalah berlainan dengan nama kedai yang ditulis dalam tulisan
Jawi.
Ia menjadi kemestian semua kedai di negeri ini dipamerkan
dengan tulisan Jawi walaupun ia dimiliki bangsa lain.
Sementara itu, Khalid memaklumkan pihaknya juga mengadakan
operasi halal bermula 13 Januari lalu sehingga semalam.
“Sebanyak 41 premis dan kedai makan diperiksa membabitkan 32
premis dimiliki pengusaha beragama Islam manakala selebihnya bukan Islam.
“Ia termasuk kedai mamak, kopitiam yang dimiliki pengusaha
berbangsa Cina serta restoran yang diusahakan warga Thailand.
“Dalam tempoh seminggu operasi dijalankan, tiada kes
berhubung kesalahan mempamerkan teks al-Quran atau apa-apa perkara yang berkait
dengan Islam,” katanya.
Khalid berkata, operasi itu turut membabitkan Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Perbandaran Kota
Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan