MAHU melindungi anak kucing yang tinggal di pulau daripada
ancaman haiwan liar mendorong seorang doktor haiwan tampil dengan cadangan
mewujudkan sebuah `Pulau Kucing' di Sabah.
Bagi mencapai hasrat itu, Dr Randolf Paza memuat naik
cadangan berkenaan dalam status media sosial Facebook beliau sebelum ia menjadi
tular dan dikongsi serta mendapat maklum balas ramai netizen.
Dalam status Facebook Dr Randolf, beliau meminta orang ramai
terutama sukarelawan supaya menyokong usahanya untuk menjayakan projek `Pulau
Kucing' yang disifatkannya sebagai langkah terbaik melindungi kucing pulau.
Statusnya yang dikongsinya sejak 11 Januari lalu kini
mendapat 1,300 perkongsian daripada orang ramai, 2,100 tanda suka dan menerima
lebih 680 komen daripada netizen.
Menurut Randolf, beliau mendapat inspirasi untuk menjayakan
projek itu selepas mendapat tahu di Jepun ada sebuah pulau dikhaskan untuk
kucing yang dilindungi dan dijaga.
"Saya dapat tahu ada sebuah pulau di Jepun dipenuhi
dengan kucing. Memandangkan saya selalu buat kerja amal merawat dan mengembiri
haiwan seperti kucing terutama di beberapa pulau berhampiran Kota Kinabalu,
timbul idea untuk melindungi kucing di kawasan itu.
"Anak kucing di pulau ini mati kerana kebanyakannya
dimakan haiwan liar terutamanya biawak. Jadi saya sering melawat ke pulau ini
untuk melindungi kucing yang ada di pulau sama ada dengan merawat atau
mengembiri kucing terbabit," katanya ketika ditemui Harian Metro di Kota
Kinabalu.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan projek itu, Randolf
berharap semua pihak dapat menyokongnya terutama kerajaan dengan mewartakan
sebuah pulau di sekitar Kota Kinabalu untuk dijadikan sebagai `Pulau Kucing'.
"Saya banyak menerima komen positif dan ada juga yang
berkata ia mustahil dilakukan, namun ini adalah langkah permulaan dan harap
kerajaan dapat melihat kepentingannya bagi melindungi haiwan ini selain memberi
keuntungan dari segi pelancongan.
"Setakat ini saya bercadang menjadikan Pulau Mamutik
sebagai Pulau Kucing kerana persekitaran yang sesuai untuk menempatkan dan
mengumpul kucing di sekitar pulau berkenaan," katanya.
Randolf yang juga sukarelawan Persatuan Mencegah Kekejaman
Terhadap Haiwan (SPCA) berkata, berdasarkan rekodnya, setakat ini sebanyak 18
kucing ada di Pulau Mamutik, Pulau Sapi (14) dan 35 di Pulau Manukan.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan