“SAYA bukan sombong, tetapi waktu yang ditetapkan untuk
berjumpa dengan orang ramai dihadkan keluarga kerana bimbang saya tidak cukup
rehat selain pelajaran terabai,” kata Muhammad Syukur Khamis, 14, remaja yang
foto aksi mesra dia dengan kerbau yang diternak bapanya, Khamis Jusoh, 63,
tular di media sosial.
Dia ditemui pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Dr Ahmad
Samsuri Mokhtar bersama Adik Syukur Khamis di Restoran Martion di Kuala
Terengganu, malam tadi.
Syukur berkata, dia langsung tidak berasa terganggu dengan
kehadiran orang ramai di rumah dan kandang ternakan kerbau bapanya itu setiap
hari, malah berasa gembira apabila dihargai masyarakat termasuk pengunjung dari
luar.
“Jika diikutkan saya ingin melayan semua pengunjung yang
datang untuk bergambar dan melihat keletah saya bermain dengan ternakan ayah,
tetapi kerana kekangan waktu, hasrat pengunjung itu tidak semua boleh dipenuhi.
“Saya perlu membahagikan masa dengan sebaik mungkin kerana
saya masih bersekolah, hanya waktu petang saya diizinkan keluarga untuk keluar
ke kandang bertemu dengan pengunjung yang ingin bergambar dan berjumpa dengan
saya.
“Walaupun lebih 100 pengunjung yang datang ke rumah dan
kandang kerbau pada setiap hari untuk bergambar, saya tetap melayan mereka
dengan baik kerana menghargai kesungguhan mereka yang datang untuk berjumpa
dengan saya, ” katanya.
Tambahnya, biarpun dia sudah dikenali dan menjadi tumpuan
ramai, ia bukan tiket untuk mengabaikan pelajaran justeru bersekolah seperti
biasa pada setiap hari.
“Sehingga kini pelajaran saya tidak terganggu kerana keluarga
sentiasa memantau dan mengawal aktiviti saya pada setiap hari, biarpun sudah
dikenali ramai, pelajaran paling penting kerana ia membabitkan masa depan
saya,” katanya.
Sementara itu abangnya, Muhammad Alias Khamis, 29, berkata,
lebih 100 pengunjung yang datang ke rumah dan kandangnya pada setiap hari dan
lebih 200 pengunjung pada hari Jumaat dan Sabtu kerana ingin berjumpa dengan
adiknya itu.
“Kami bukan sengaja menghadkan masa seperti itu tetapi
simpati dengan Syukur kerana terlalu ramai yang ingin menemuinya menyebabkan
Syukur tidak mempunyai waktu rehat dan dibimbangi pelajarannya terabai.
“Kami sekeluarga tumpang bangga apabila Syukur mempunyai
ramai peminat yang sanggup datang daripada jauh untuk berjumpa dan melihat
sendiri kehidupan Syukur bersama kerbau yang diternak bapa tetapi aktiviti itu
perlu dikawal supaya syukur mempunyai masa untuk belajar.
“Keluarga tetapkan waktu berjumpa Syukur pada jam 6 petang
hingga 7 petang pada setiap hari, Syukur akan ke kandang kerbau bapa untuk
melayan pengunjung. Walaupun pengunjung datang seawal 4.30 petang, mereka perlu
bersabar dan menunggu,” katanya.
Menurutnya, sejak foto Syukur menjadi tular di media sosial,
Syukur juga menerima banyak undangan termasuk daripada televisyen berbayar,
namun terpaksa ditolak kerana faktor masa yang terhad.
“Terbaru Syukur baru sahaja selesai menjayakan penggambaran
pendek di kadang kerbau bapa bersama Ustak Mat Ipang yang juga pernah tular di
media sosial pada 2016,” katanya.
Pada majlis itu, Syukur menerima tajaan gunting rambut
selama setahun oleh The Groomerz Barbershop, pakej penginapan TY Hotel Kuala
Terengganu dan sumbangan wang tunai yang diserahkan Pengerusi Jawatankuasa
Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman yang
mewakili Ahmad Samsuri.
Media sebelum ini pernah melaporkan kisah pelajar Tingkatan
Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu mula dikenali ramai
selepas foto aksi mesra dia dengan kerbau yang diternak ayahnya, Khamis Jusoh,
63, tular di media sosial.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan