Sistem pendidikan negara gagal pupuk perpaduan



PELBAGAI perubahan dan kajian terhadap sistem pendidikan negara yang dilalui sejak sebelum merdeka sehingga kini masih belum mampu memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia.
Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata, sejarah pendidikan negara menyaksikan banyak perubahan dilalui bermula daripada pendidikan mengikut kaum dan sekolah Inggeris sehingga kepada sistem yang digunakan ketika ini.
Justeru, katanya, selepas berulang kali sistem pendidikan negara melalui perubahan dan penambahbaikan, beliau kadang kala tertanya-tanya bila sistem dan silibus pendidikan serta peperiksaan yang digunakan di negara ini akan menjadi sama untuk semua masyarakat.
Beliau berkata, sejak dahulu lagi setiap kali sistem pendidikan digubal dan ditambah baik, hasrat utamanya adalah untuk mencapai perpaduan antara kaum.
“Kita mahu masyarakat yang bersatu padu. Ini matlamat yang dijunjung oleh dasar pendidikan negara. Kita mahu maju dan liberal. Kita mahu masyarakat yang bermoral dan beretika, yang boleh bertolak ansur dan bertimbang rasa.
“Yang paling penting adalah perpaduan. Dalam pendidikan harapan yang berulang kali ialah melahirkan sistem, kurikulum dan peperiksaan yang sama. Soalnya adakah ini sudah tercapai?” katanya ketika menyampaikan Pidato Umum Tun Hamdan Sheikh Tahir Ketiga bertajuk Perkembangan Sistem Pendidikan Malaysia: Dahulu, Kini dan Masa Hadapan.
Pidato anjuran Yayasan Tun Hamdan bersama UiTM dengan kerjasama Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Iskandar Shah, Parit, Perak (ISKANDARIAN); Persatuan Alumni Clifford (Cliffordian) dan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAROBA).
Yang turut hadir pada Pidato Umum yang diadakan di Dewan Seri Budiman, UiTM itu, hari ini, Pengerusi Yayasan Tun Hamdan, Datuk Seri Dr Isahak Yeop Mohamad Shar manakala Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling sebagai moderator.
Sementara itu, Abdul Rahman yang juga tokoh akademik dan pernah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, berkata, sistem pendidikan negara perlu lebih liberal selain mendengar suara setiap pihak.
Katanya, tidak salah untuk sistem pendidikan negara menyertakan pendidikan bahasa ibunda pelbagai masyarakat di negara ini termasuk bahasa Cina dan Tamil.
Beliau berkata, untuk mengadakan sistem pendidikan satu sistem dengan mengetepikan sistem vernakular seperti di Singapura mungkin sedikit sukar untuk dilaksanakan kerana setiap masyarakat mahukan sistem mereka sendiri.
“Ke arah perpaduan, kita perlu mengajar bahasa lain, bahasa ibunda tidak seharusnya hilang namun perlu faham ada masyarakat yang mempunyai pelbagai bahasa seperti masyarakat India jadi kita ambil bahasa yang paling ramai penuturnya.
“Ajarkan kebudayaan di sekolah supaya kita faham budaya dan adat resam masing-masing. Kita sambut Tahun Baharu Cina, apa yang kita tahu hanya membakar mercun tetapi apa budayanya? Thaipusam, ajarkan ini,” katanya.
Abdul Rahman berkata, organisasi sekolah juga perlu meningkatkan aktiviti ko-kurikulum melangkaui sempadan dan kebiasaan masyarakat tertentu misalnya sukan bola keranjang boleh juga diminati pelajar Melayu dan pelajar Cina boleh bersilat.
“Yang terakhir, kita seharusnya menjadikan kurikulum kita bersifat antarabangsa jika kita mahu menjadi masyarakat dunia,” katanya.
Ditanya mengenai gesaan untuk memartabatkan ahasa Melayu selain penguasaan ahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat, Abdul Rahman berkata, biarpun masyarakat Perancis menggunakan bahasanya sendiri di sekolah, mereka juga mampu berturut dalam bahasa Inggeris, begitu juga dengan masyarakat Jerman.
Namun, katanya, dalam usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, tenaga pengajarnya juga perlulah mahir dalam bahasa itu supaya pendidikannya tidak sekadar dalam bilik darjah semata-mata.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...