POLIS Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki heroin dan syabu hasil empat serbuan berasingan di Muar dan Batu Pahat pada 17 dan 18 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Anak Aket berkata, selain merampas dadah dan harta bernilai RM489,023 pihaknya menahan lapan individu termasuk dua warga asing.
Katanya, serbuan pertama di sebuah pondok yang dijadikan bengkel haram di Taman Aman, Muar pada jam 9.30 malam, Khamis lalu, yang mana pihaknya berjaya menahan tujuh lelaki.
“Hasil serbuan itu, kami menahan lima lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berusia 22 hingga 36 tahun.
“Selain itu, kami merampas dadah jenis syabu serta dua pucuk pistol jenis Revolver .38 dan sebutir peluru hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Beliau berkata, 1,050 gram syabu dengan nilai rampasan RM72,800 diperolehi pada serbuan pertama, selain nilai sitaan dua kereta jenis Proton Persona dan Perodua Myvi bernilai RM38,000.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan dua pucuk pistol sama ada pernah digunakan untuk kegiatan lain dan dari mana ia diperolehi.
Menurutnya, hasil soal siasat pihaknya melakukan tiga serbuan susulan pada jam 3.30 pagi, Jumaat lalu di Batu Pahat dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun.
“Kami merampas 6,945 gram heroin dan 2,135 gram syabu bernilai RM279,070 dan menyita Proton Inspira dan Perodua Viva, pelbagai nilai wang tunai serta barang kemas dengan nilai sitaan RM99,153.66,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, semua suspek direman tujuh hari sehingga 25 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Bermula 1 Januari hingga 19 Januari lalu, kami berjaya menahan 1,407 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 45.17 kilogram bernilai RM1.70 juta,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan