Kejamnya guna pukat tunda tepi pantai



“BERHENTILAH memukat ikan di pesisir pantai dengan cara salah kerana tiga ekor penyu sudah mati akibat pukat tunda dan pukat pari tahun ini,” kata Awang Sulong, 50, dari Kampung Telaga Batin ketika ditemui di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, hari ini.
Dia berkata demikian selepas melihat seekor penyu agar betina mati dan terdampar di celah batu di Pantai Teluk Ketapang dipercayai akibat kegiatan nelayan menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
Awang berkata, dia kasihan melihat penyu yang mati akibat perbuatan segelintir nelayan yang tidak bertanggungjawab itu.
“Sekarang sudah tiba musim penyu bertelur, justeru ia akan menghampiri pantai untuk bertelur.
“Tetapi malangnya ada nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan dan kaedah salah.
“Pukat pari dan pukat tunda dilarang sama sekali digunakan di pesisir pantai, tetapi masih ada berdegil, sekali gus menjejaskan banyak hidupan lain,” katanya yang juga salah nelayan pantai di kampung itu.
Tambahnya, masalah itu sudah kerap diajukan kepada pihak bertanggungjawab tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dan kegiatan itu masih berleluasa.
“Sebagai penduduk dan nelayan pantai, kami memohon ketegasan pihak bertanggungjawab membendung salah laku nelayan yang memukat mengguna kaedah salah di pesisir pantai.
“Mereka terlalu rakus meraih keuntungan sehingga menjejaskan banyak hidupan lain termasuk penyu. Jika kegiatan ini tidak dibendung, saya bimbang lebih banyak penyu mati kerana Februari akan bermula bulan penyu bertelur,” katanya.
Muhamad Ali Miah, 63, berkata, perbuatan menggunakan pukat tunda dan pukat pari di pesisir pantai adalah perbuatan yang kejam.
Katanya, penggunaan dua pukat itu akan memberi kesan sangat buruk kepada ekosistem di kawasan pantai.
“Kebarangkalian untuk menyebabkan kepupusan pelbagai jenis ikan di kawasan pantai sangat tinggi.
“Paling menyedihkan ia akan mengurangkan hasil tangkapan nelayan pantai di kawasan berkenaan kerana pukat tunda merosakkan unjam nelayan,” katanya.
Ali berkata, sepatutnya nelayan pukat tunda dan pukat pari menjalankan kegiatan mereka di kawasan laut dalam dan bukan di pesisir pantai.
“Kami berasa tidak selesa melihat kehadiran bot nelayan menjalankan aktiviti pukat tunda itu di kawasan pantai.
“Bukan sahaja penyu menjadi mangsa tetapi anak ikan tidak sempat membesar kerana terperangkap di dalam pukat tunda itu,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...