Jinaknya Mikey...



“PADA mulanya saya ingatkan anak musang tetapi rupa-rupanya memerang dan ia datang ke rumah bermanja dengan semua orang,” kata Azriman Ibrahim, 27, dari Kampung Bukit Tumbuh ketika ditemui di rumahnya di Kuala Nerus, hari ini.
Azriman berkata, dia tidak pasti anak memerang jantan itu kepunyaan siapa tetapi ia datang ke rumah sejak seminggu lalu dan semakin selesa tinggal di kawasan rumahnya.
“Keletahnya yang jinak dan manja seperti kucing membuatkan kami sekeluarga terhibur dan tidak kisah ia berkeliaran di kawasan rumah.
“Biasanya kami memberinya makan tiga kali sehari dan makanan kucing ialah makanan yang paling digemari haiwan itu.
“Saya memanggilnya dengan panggilan Mikey. Ia kelihatan sangat jinak tetapi sukar untuk memegangnya kerana ia akan mengelak daripada disentuh,” katanya.
Tambahnya, dia sudah memaklumkan kepada penduduk mengenai memerang itu tetapi sehingga kini tiada siapa yang datang menuntutnya.
“Saya tidak kisah jika memerang itu terus tinggal di kawasan rumah tetapi jika pemiliknya ingin mengambilnya semula kami sekeluarga tidak menghalang.
“Sepanjang seminggu berada di kawasan rumah, memerang itu tidak menimbulkan sebarang masalah malah tidak mengancam atau mencederakan sesiapa.
“Biasanya ia menyorok di bawah kenderaan tetapi apabila dipanggil ia akan keluar meminta makanan sambil menunjukkan pelbagai keletah yang menghiburkan,” katanya.Menurutnya, memerang itu tidak menggemari ikan mentah seperti kebiasaan memerang yang berkeliaran bebas di hutan.
“Mungkin pemilik asal memerang itu sudah melatihnya untuk tidak makan makanan lain selain makanan kucing.
“Pada saya biarlah ia hidup bebas seperti itu, jika ia lapar ia makan makanan kucing yang disediakan dan sekiranya memerang itu ingin ke habitat asal ia boleh pergi pada bila-bila masa,” katanya.
Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu Kamsul Alias berkata, memerang termasuk dalam kumpulan haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya dan membelanya memerlukan permit khas yang dikeluarkan atas budi bicara Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
“Memelihara dengan cara mengurung haiwan itu boleh didakwa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dibawah Seksyen 68 (1) memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Jika kami memperoleh maklumat atau aduan mengenai aktiviti membela memerang dengan cara mengurung haiwan liar itu di dalam sangkar, PERHILITAN tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik,” katanya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...