Bangunan Planetarium Melaka tidak selamat



LAPORAN forensik dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka memutuskan bangunan Planetarium Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, tidak selamat untuk digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, arahan pengosongan premis itu dibuat susulan pemeriksaan lanjut mendapati beberapa struktur sokongan pada bangunan terbabit tidak kukuh dan berbahaya untuk keselamatan orang awam.
“Kita sudah terima laporan forensik daripada JKR negeri sebelum memutuskan bangunan (Planetarium Melaka) ini tidak selamat.
“Difahamkan, mereka (kakitangan) sudah dipindahkan susulan penutupan operasi.
“Pemeriksaan pada struktur bangunan mendapati satu kepingan struktur dinding (lima meter x lapan meter) tumbang, manakala tiga lagi struktur dinding turut terjejas,” katanya ketika ditemui NSTP di pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada pengurusan Planetarium Melaka dan kerajaan negeri untuk hala tuju pusat pelancongan itu, termasuk menyediakan pelan jangka masa panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Planetarium Melaka Sdn Bhd, Datuk Mohd Ariff Shah Abdullah Sani berkata, bangunan berkenaan kini ditutup sementara bagi memberi laluan kerja pengubahsuaian yang bermula awal bulan ini hingga akhir Mac depan.
“Buat masa ini, pejabat Planetarium Melaka beroperasi sementara di Taman Tasik Utama dan kerja pengubahsuaian membabitkan peruntukan daripada Perbadanan Ketua Menteri (CMI),” katanya.
Akhbar pada 20 November tahun lalu melaporkan, tujuh kakitangan Planetarium Melaka terselamat selepas struktur bumbung bangunan itu runtuh ketika hujan lebat dan ribut.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.25 tengah hari itu tiada orang awam dan pelawat berada di dalam bangunan berkenaan.
Pada 23 Mei tahun lalu pula, bangunan binaan sementara untuk dijadikan taman permainan salji di perkarangan Planetarium Melaka turut musnah dalam kebakaran, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...