SEBARANG tindakan yang akan diambil berhubung penggunaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diputuskan selepas siasatan dalaman selesai.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, sudah mempertanggungjawabkan Ketua Setiausaha Kementerian, Dr Tan Yew Chong untuk mengendalikan siasatan itu.
“Saya sudah meminta siasatan dalaman dilakukan kementerian dan mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian untuk mendapatkan butiran terperinci berkaitan dakwaan itu.
“Malah Ketua Pengarah Perhutanan Negeri Pahang diarah untuk menyiapkan laporan berkaitan.
“Dijangkakan ia dapat disiapkan tidak lama lagi, mungkin minggu depan (selepas PRK) dan sebarang tindakan atau keputusan bergantung kepada laporan yang diterima,” katanya kepada media selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai gambar pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan yang ditampal pelekat logo Pakatan Harapan (PH), dipercayai digunakan untuk berkempen pada PRK berkenaan.
Turut tersebar, sebuah video yang menunjukkan penginapan UMNO Rompin di Pos Lenjang didatangi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama beberapa individu.
Mereka didakwa tidak berpuas hati selepas jentera Barisan Nasional (BN) dikatakan ‘menangkap’ anggota PH menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen
Video terbabit menunjukkan jentera BN bertelingkah dengan individu yang pakaiannya tertera logo PH bersama sebuah kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di sebalik bendera Jalur Gemilang.
Sehubungan itu, calon BN, Ramli Mohd Nor membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah guna sumber kerajaan untuk kempen selain.
Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak sebelum ini mengesahkan mereka meminjamkan kenderaan untuk kegunaan rasmi Tengku Zulpuri.
Sallehuddin bagaimanapun, mengarahkan kenderaan itu dipulangkan selepas ia didapati dilekatkan dengan bendera PH di Cameron Highlands.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan