UMUM mengetahui Malaysia terletak di luar Lingkaran Api
Pasifik. Fakta itu jelas menunjukkan tidak wujud gunung berapi aktif di negara
ini.
Namun sejak kebelakangan ini, ada blogger dan netizen
mencetuskan pendapat mengatakan Malaysia berisiko diancam bencana letusan
gunung berapi. Dikatakan akan muncul gunung berapi di Pahang dan Sabah. Ancaman
itu dipercayai boleh berlaku berdasarkan fakta terdapat gunung berapi prasejarah
di kedua-dua negeri tersebut. Gunung berapi itu dikatakan wujud berjuta tahun
lampau dan statusnya boleh bertukar kepada aktif disebabkan faktor aktiviti
seismik di dalam perut muka bumi yang berlaku sekarang di negara ini.
Aktiviti seismik yang dikaitkan itu adalah beberapa siri
kejadian gempa bumi di beberapa kawasan di Malaysia, antaranya di Pahang, Kedah
dan Sabah.
Selain itu, ada pihak mempercayai beberapa kawasan
pergunungan seperti Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu mampu meledakkan lahar
gunung berapinya semula, selepas mati berjuta tahun lalu ekoran perubahan
geologi bumi.
Benarkah tanggapan itu? Bagi menjawab persoalan tersebut, S2
mendapatkan pandangan pakar geologi dari Jabatan Geologi Universiti Malaya,
Prof. Dr. Mustaffa Kamal Shuib bagi merungkai bagaimana sejarah gunung berapi
dikaitkan dengan Malaysia.
Menurutnya, memang benar terdapat beberapa kawasan di
Malaysia pernah mempunyai gunung berapi tetapi letusan itu berlaku ratusan juta
tahun lalu. Justeru, apa yang tinggal hari ini adalah sisa gunung berapi yang
telah lama mati.
Katanya, lokasi gunung berapi paling muda dan terakhir
pernah meletus di negara ini dipercayai terletak di Kuantan, Pahang.
“Sehingga hari ini, terdapat kesan batuan volkanik jenis
basalt di pantai Batu Hitam, Kuantan, manakala punca kawah yang meletuskan
lahar pula dipercayai terletak berdekatan pesisir pantai yang kini dikenali
sebagai Damansara Kuantan,” katanya.
Beliau berkata, proses hakisan dan enapan yang memakan masa
jutaan tahun menyebabkan kawah gunung berapi itu tidak lagi kelihatan.
Katanya, selain Kuantan, lokasi lain seperti Segamat
(Johor), Gerik (Perak) dan Gua Musang (Kelantan) juga mempunyai batuan volkanik
yang dipercayai hasil daripada letusan gunung berapi di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, Mustaffa Kamal berkata, dakwaan blogger dan
netizen mengenai kejadian gempa bumi di Malaysia sejak akhir-akhir ini mampu
mengaktifkan semula gunung berapi purba adalah tidak berasas, terutama di
Gunung Tahan dan Kinabalu.
“Gunung Tahan dan Kinabalu adalah gunung yang terbentuk
daripada proses enapan dan batuan plutonik yang terhasil daripada proses
pergerakan magma yang membeku dan tidak sempat mengalir keluar ke permukaan
bumi melalui lohong gunung berapi,” katanya.
Sementara itu, katanya, sejak 1997, kejadian gempa bumi di
negara ini berlaku akibat gegaran yang tercetus di Lingkaran Api Pasifik.
Terbaharu gempa bumi berukuran 6.0 Skala Ritcher pada 5 Jun
2015 di Sabah mengorbankan 19 orang.
“Untuk makluman, Semenanjung berada di atas kerak bumi yang
dinamakan Plat Sunda. Plat ini dihimpit Plat Indo-Australia di sebelah selatan
pada kadar tujuh sentimeter setahun.
“Sementara itu, Plat Filipina-Pasifik pula menghimpit Sabah
dan Sarawak pada kadar 10 sentimeter setahun,” katanya.
Namun katanya, plat yang menjunam ke bawah Plat Sunda tidak
sampai tahap boleh menghasilkan letusan gunung berapi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan