“PENDUDUK yang sedang menahan pukat sudah melarang arwah dan dua kawannya mandi di sungai kerana kawasan itu dalam, tetapi mereka tidak mengendahkan amaran dan terus mandi.
“Tidak lama kemudian seorang daripada mereka kelihatan tenggelam timbul dan cuba berpaut pada tangan seorang lagi rakannya sebelum hilang,” kata penduduk kampung, Asri Ahmad, 52.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang tadi, Faris Muhaimin Suhirman, 13, lemas ketika mandi bersama rakan sekampungnya di Sungai Muda, Sik sebelum mayatnya ditemui penduduk kampung jam 6 petang.
Asri berkata, mereka bertiga dikatakan baru pulang dari sekolah dan arwah yang menetap di Kampung Pokok Jerai belajar di Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeneri.
“Ketika kejadian dua rakan mangsa sempat naik ke tebing sungai menyelamatkan diri, seorang daripadanya cuba memegang tangan Faris Muhaimin, namun terlepas sebelum mangsa tenggelam.
“Sebaik melihat mangsa tenggelam, dua rakannya berlari untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung dan usaha mencarinya dilakukan sebelum mayat mangsa ditemui penduduk kampung tersangkut pada batang pokok di dasar sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Asri berkata, lokasi mangsa dan rakannya mandi mempunyai kedalaman kira-kira empat meter.
Katanya, ketika ditemui Farish Muhaimin tidak berbaju dan hanya berseluar jeans dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, bapa arwah, Suhirman Abu Bakar yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian dilihat tidak dapat menahan sebaik sebaik melihat mayat anak sudah kaku di tebing sungai berkenaan.
“Apa yang saya tahu, arwah anak keempat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk dibedah siasat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan