Omar teruja tunai tanggungjawab



Cameron Highlands: Meskipun usianya kini sudah mencecah 93 tahun, Omar Idris tidak pernah terlepas daripada menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
Walaupun keadaan kesihatannya yang agak terbatas, bekas kakitangan Jabatan Telekom Malaysia (kini TM) teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
“Saya selalu ingatkan anak mengundi satu tanggungawab yang perlu ditunaikan untuk memastikan masa depan negara.


“Ia perkara penting dalam membentuk masa depan negara dan memastikan negara kita terus aman,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Raja, di sini.
Menceritakan sejarah kedatangannya ke Kampung Raja Cameron Highlands, Omar berkata, dia diarahkan bertugas dan melaporkan diri dengan Jabatan Telekom Malaysia ke Cameron Highlands pada 1964 dan berulang-alik ke Kampar sebelum terus menetap pada 6 Jun 1966.
“Pada masa itu hanya dua saja keluarga Melayu yang tinggal di Kampung Raja iaitu saya dan seorang lagi rakan, namanya Abdul Aziz, tapi dia sudah meninggal dunia.
“Ada 71 rumah Cina di Kampung Raja waktu itu. Kebanyakan penduduk Cina yang tiba di Kampung Raja asalnya dari Habu dan mereka dipindahkan sebab pembinaan empangan,” katanya.
Katanya, ketika mula-mula tinggal di situ, perasaan tidak selesa memang ada malah kediamannya pernah ditumpangi askar risik selama enam bulan bagi memantau kegiatan komunis yang berleluasa.

Omar berkata, bukit di hadapan rumahnya pada satu ketika pernah dijadikan stor barang simpanan komunis dan dia pernah nampak dengan jelas askar komunis berkeliaran sekitar Kampung Raja bagi mengambil bekalan makanan.
“Ketika insiden 13 Mei 1969, masyarakat Cina di sini maklum akan kejadian itu, tapi keluarga saya dan keluarga sahabat saya, Abdul Aziz tidak diapa-apakan kerana hidup kami menghormati antara satu sama lain.
“Sebab itu saya ingatkan supaya tunaikan tanggungjawab mengundi bagi memastikan negara kuat untuk masa depan kita,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Md Shamsul Omar, 52, berkata, bapanya sudahpun memaklumkan mahu menunaikan tanggungjawabnya mengundi 26 Januari ini dan sudah mengundi sebanyak 14 kali sepanjang PRU berlangsung.
“Masa depan negara terletak di tangan pengundi, itu yang selalu Abah ingatkan kepada kami adik beradik,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...