Permohonan dalam talian elak rasuah



KEMENTERIAN Sumber Manusia bercadang menggunakan sepenuhnya sistem dalam talian terutama untuk permohonan pekerja warga asing serta kegiatan yang memerlukan transaksi kewangan.
Menterinya, M Kulasegaran berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan pegawai di kementeriannya bersemuka dengan orang awam yang boleh berlaku gejala rasuah.
“Dalam amanat saya kepada warga kementerian, saya tekankan mengenai aspek sifar rasuah, ini adalah satu masalah dalam kerajaan terdahulu. Kita tidak mahu mendekati isu berkenaan tetapi mahu menghapuskan rasuah.
“Satu daripada cadangan kita ialah mahu buat seberapa banyak permohonan yang membabitkan wang di bawah kementerian ini dilakukan secara dalam talian supaya pegawai tidak perlu berjumpa atau mendekati apa-apa punca kepada gejala rasuah terutama pada permohonan pekerja asing.
“Ia secara tidak langsung menyambut baik saranan kerajaan yang mahu setiap kakitangan kerajaan memberi komitmen penuh dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2019 di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.
Selain isu rasuah, Kulasegaran turut menekankan tujuh penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh kementeriannya seperti bertindak secara pantas dalam melaksanakan tugasan.
“Dalam hal ini kita perlulah memberi jawapan maklum balas kepada setiap pertanyaan dan masalah yang dikemukakan kepada kementerian dalam tempoh 48 jam.
“Selain itu kita turut menyasarkan peningkatan seramai sejuta pekerja yang menganggotai kesatuan sekerja menjelang 2020.
“Kesatuan sekerja amat penting dalam mewakili pekerja daripada pelbagai aspek khususnya kepentingan ekonomi dan sosial pekerja,” katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...