KANAK-KANAK lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Ketil, Baling, jam 3 petang hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Danish Iman Zefry, 15 bulan, dipercayai tergelincir dari tebing sungai yang terletak kira-kira lima meter daripada rumahnya sebelum ditemui tersangkut di pokok buluh.
Kakak mangsa, Nur Delisya Zulaikha, 9, berkata dia yang sedang bermain dengan abang, Muhamad Danish Fitri,10, dan adik, Nurdania Maisara, 3, tidak menyedari arwah keluar dari rumah.
“Kami terus mencari di sekitar rumah dan kawasan tebing sungai, tetapi tidak ditemui.
“Ketika ramai jiran mencari di rumah berdekatan tiba-tiba ada penduduk menjerit menemui adik tersangkut pada pohon buluh dalam sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bawah Gunung, Baling.
Katanya, ibu mereka Miss Mariyae Awang, 37, keluar bekerja sebagai pembantu kedai di Pekan Baling, manakala bapanya, Zefry Puteh, 35, berada di dalam rumah.
Seorang penduduk, Mohd Yusuf Md Rejab, 55, berkata dia sedang mandi bersama anak-anaknya kira-kira 100 meter dengan rumah kanak- kanak berkenaan.
“Saya kemudian terkejut secara tiba-tiba timbul mayat kanak-kanak di pokok buluh sebelum segera mengangkatnya tetapi mangsa sudah kebiruan dan tidak bernyawa.
“Dalam situasi itu, saya melaungkan azan dengan kuat dan menjerit meminta pertolongan daripada penduduk kampung lain sebelum mereka menghantar mangsa ke Hospital Baling untuk bantuan kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan