REMAJA lelaki menerima 10 jahitan di kepala selepas diserang
menggunakan parang dalam kejadian di Seberang Takir, Gong Badak, Kuala Nerus,
Jumaat lalu.
Kejadian berlaku jam 9 malam ketika peniaga berusia 19 tahun
itu berada di rumah seorang lelaki dikenali sebelum diserang selepas dikatakan
mencuri telefon bimbit teman wanita lelaki itu.
Menurut sumber, mangsa sebelum itu ke sebuah kedai untuk
makan bersama beberapa rakan termasuk suspek dan lelaki terbabit kemudian
mengajak mangsa ke rumahnya.
Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menerima
ajakan suspek dan sebaik tiba di rumahnya, lelaki itu masuk ke dalam manakala
mangsa berada di luar.
“Bagaimanapun, suspek keluar dengan membawa parang sebelum
memukul kepala mangsa kerana tidak berpuas hati dengan remaja itu yang
dikatakan mencuri telefon bimbit teman wanitanya.
“Mangsa menafikan tuduhan suspek dan mengaku membeli telefon
jenama Iphone 5S daripada suspek di sebuah rumah kedai di Kampung Batin, Kuala
Nerus sebelum ini,” katanya.
Telefon bimbit berkenaan sebenarnya milik teman wanita
suspek.
Sumber berkata, mangsa yang cedera di kepala mendapatkan
rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan menerima 10 jahitan.
Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat
laporan di Balai Polis Gong Badak Sabtu lalu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu,
Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan
berhubung kejadian.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun
Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau
lain-lain benda berbahaya.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan