SEORANG guru tadika yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut dilanggar kereta selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Sungai Pau, Sik, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa Siti Majidah Ayob, 25, dari Kampung Tanjung Besar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal, Abdul Malik Sabri, 34, hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa terbabas dan melanggar motosikal ditungganggi Abdul Malik yang dalam perjalanan menghala ke Jeniang.
“Akibat perlanggaran itu, motosikal Abdul Malik terbabas ke arah kanan jalan, manakala mangsa pula terjatuh di tengah laluan.
“Ketika mangsa cuba bangun, datang sebuah kereta yang tidak dikenal pasti dari arah sama melanggarnya menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat, manakala Abdul Malik turut dirawat di hsopital sama.
Katanya, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti jenis kereta yang terbabit dalam kemalangan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita juga sedang mengesan kenderaan yang disyaki terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan