“SAYA betul-betul minta maaf, saya bukan sengaja mencuri,” itu rayuan seorang lelaki yang memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.
Selain menyesali perbuatannya, tertuduh, Voon Kong Yaw, 36, memberitahu Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim yang dia bakal menyambut kelahiran anak tidak lama lagi dan terpaksa melakukan perbuatan itu kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
Tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas didapati mencuri mesin generator dari sebuah kereta di Batu 7, Jalan Tuaran, 14 Januari lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mohamad Aizat kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 45 hari serta denda RM1,000 terhadap tertuduh.
Jika gagal membayar denda, dia diperintahkan menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga minggu.
Mengikut fakta kes, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan meninggalkan kenderaan untuk meminta rakannya mengalihkan kenderaan yang menghalang laluan masuk ke premis alat ganti berkenaan.
Bagaimanapun, ketika kembali ke kenderaannya, mangsa melihat tertuduh mengangkat sebuah mesin generator masuk ke dalam kereta sebelum melarikan diri.
Mangsa kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan tertuduh berjaya dipintas di Jalan Tuaran By Pass sejurus selepas itu.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Albert Basirin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan