“JENAMA Bilal diasaskan sejak 1972 oleh arwah bapa dan ibu, malah anak-anak tidak pernah menjualnya kepada Cina,” kata pemilik produk jenama Bilal, Rozliana Zainal Abidin.
Rozliana, 49, mengambil alih perniagaan diusahakan arwah bapanya, Zainal Abidin Ali dan arwah ibunya, Thamimah Rehan sejak 1972 bersama tiga beradik lain.
“Saya terkejut melihat perkara tular berkenaan yang mengatakan sardin jenama CAP BILAL bersama lambang masjid diedarkan sebuah syarikat Cina beralamat di Sungai Buloh.
“Buat pengetahuan semua, syarikat kami tidak pernah mengeluarkan produk sardin, kami hanya mengeluarkan produk dalam botol seperti kicap, cuka, taucu dan kordial jenama Bilal yang mempunyai lambang kubah masjid,” katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.
Rozliana berkata, dia menerima banyak maklum balas daripada rakan dan pelanggan yang mahu kepastian mengenai jenama Bilal yang kini tular dan didakwa dikeluarkan oleh syarikat Cina, sekali gus meminta ia diboikot umat Islam.
“Produk kami dikilangkan di Jalan Rinching Hulu, Semenyih dengan kapasiti pekerja lebih 60 orang, malah kami mempunyai logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kami sangat berharap setiap pengguna membaca maklumat lengkap di setiap botol produk dan tempat dikilangkan,” katanya.
Menurutnya, jenama sardin CAP BILAL yang tular itu tiada kaitan dengan produk mereka langsung dan berharap orang ramai berhenti memboikot jenama mereka.
Katanya, perkara yang tular itu sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan mereka, namun tindakan undang-undang tidak dapat dilaksanakan pihaknya ketika ini.
“Kami sudah mendapatkan pandangan peguam dan dimaklumkan kami tidak boleh mengambil tindakan kepada syarikat terbabit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan