Imam ditipu mekanik


IMAM berusia 76 tahun menjadi mangsa penipuan mekanik apabila tindakannya meminta bantuan lelaki itu untuk mengeluarkan wang gajinya di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menyebabkannya kerugian RM12,300.

Dalam kejadian antara 23 Mac hingga 8 April tahun lalu, warga emas yang bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Jerangau, Dungun meminta bantuan lelaki itu mengambil wang gajinya di mesin ATM di bandar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 43 tahun yang berasal dari Felda Kerteh 2, Ketengah Jaya itu membuat 10 transaksi pengeluaran di ATM menggunakan kad bank mangsa tanpa pengetahuannya.

“Suspek mengambil kesempatan menukar kad ATM berkenaan dengan miliknya dan membuat pengeluaran wang warga emas itu secara berperingkat dalam tempoh itu.

“Imam terbabit tidak menyedari kad ATM miliknya ditukar suspek dan pada 8 April tahun lalu ketika ke bank untuk membuat pengeluaran wang, mangsa terkejut mendapati kad ATM miliknya tidak dapat digunakan,” katanya.

Baharudin berkata, mangsa kemudian membuat semakan dengan bank sebelum warga emas terbabit mendapati wangnya berjumlah RM12,300 dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati, suspek membuat pengeluaran wang itu melalui 10 transaksi di mesin ATM pelbagai bank di sekitar Dungun,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dungun pada 8 April tahun lalu untuk tindakan lanjut dan suspek kemudian berjaya ditahan 11 Disember lalu di rumahnya di Felda Kerteh 2.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.




sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...