Datang sendiri serah dokumen 'rahsia'



ANAK kepada pegawai pengurusan tertinggi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya hari ini, untuk menyerahkan dokumen berkaitan siasatan ke atas SSM.
Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu dipercayai terbabit skandal rasuah bagi projek SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta.
Difahamkan, dia sudah melakukan kegiatan itu sejak bapanya memegang jawatan tertinggi.
SPRM sebelum ini pernah menyerbu rumah dan pejabat lelaki terbabit untuk merampas dokumen berkenaan kerana disyaki ada bahan bukti yang disembunyikan.
“Setakat ini seorang kakitangan SSM sudah dirakam keterangan, manakala dua lagi akan dipanggil esok untuk tindakan sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota SPRM ke Menara SSM, Kuala Lumpur dan membawa keluar enam kotak berisi dokumen dipercayai ada kaitan dengan skandal projek berkenaan.
Sejak siasatan bermula 9 Januari lalu, 10 siri serbuan di beberapa lokasi direkodkan yang membawa kepada rampasan hampir 69 kotak dokumen untuk membantu siasatan.
Difahamkan, selain projek bernilai RM500 juta itu, SPRM turut menyiasat pemberian projek tanpa melalui tender terbuka oleh SSM sejak 2009.
Selain ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu premis empat syarikat di ibu kota termasuk firma perakaunan di Bangsar South, Kuala Lumpur dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal itu.
Pada 8 Januari lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada SPRM menggesa siasatan ke atas SSM dan ia menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pelaksanaan projek berimpak tinggi di suruhanjaya berkenaan.
Turut didakwa, beberapa projek SSM yang diberikan kepada individu dan syarikat sama selain menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.
Bung Mokhtar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta secara langsung kepada Formis Network Services Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.
Beliau mendakwa kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...