MAJLIS Media Kebangsaan (MMK) perlu diwujudkan bagi membantu menjaga kebajikan pengamal media tempatan termasuk menjamin keselamatan mereka ketika bertugas.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Shazlee Shith berkata, aspek keselamatan pengamal media sangat dititikberatkan demi memastikan kebebasan media terjamin.
“Adakalanya keselamatan terancam tapi saya sebagai wakil kerajaan beri jaminan keselamatan rakan media, malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan dan keseimbangan.
“Kita akan bantu mana-mana yang patut,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Kelantan Darul Naim( KEMUDI) 2019 di Rumah Media Kota Bharu, hari ini.
Turut hadir, Presiden KEMUDI Azran Fitri Abdul Rahim dan Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Azhar Ismail.
Eddin Shazlee berharap MMK dapat direalisasikan untuk membantu pengamal media dan menjadi badan yang dapat menjaga kebajikan dan perjuangkan nasib golongan itu.
“Ia termasuk juga dalam isu keselamatan dan saya percaya ia perlu diteliti dan diperhalusi kerana saya tidak mahu rakan media rasa terancam, yang mana boleh mengekang mereka daripada laksanakan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, mengulas penularan beberapa isu yang dibangkitkan di media sosial mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Eddin Shazlee berkata, ia tidak menjejaskan keselamatan negara.
“Bagaimanapun, pemantauan diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Setakat ini belum ada perkara yang serius. Ada juga dakwaan yang masih kita teliti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan