Kuantan: Tiga pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah
(POLISAS) menghasilkan jem diperbuat daripada pegaga dan epal hijau yang mampu
membantu menurunkan tekanan darah secara berperingkat.
Pelajar Diploma Teknologi Makanan itu terdiri daripada Noratikah
Abdul Halim, Nurul Nasyura Yusof dan Wan Faridatul Amirah Rozali yang
menghasilkan inovasi berkenaan selepas melakukan kajian hampir setahun.
Noratikah berkata, mereka mendapat idea itu daripada ibunya,
Norhasimah Othman yang memberitahu khasiat pegaga untuk kesihatan sebelum
membawa cadangan itu kepada pensyarahnya.
Katanya, pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica
adalah sejenis tumbuhan terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu kerana
khasiatnya iaitu kandungan nutrisi tinggi, vitamin C dan A, zat besi serta
mineral.
“Kajian kami mendapati ia mampu membantu menurunkan tekanan
darah selain melambatkan proses penuaan dan menyerikan wajah terutama
membabitkan golongan wanita.
“Kajian dilakukan turut mendapati epal hijau dapat
menurunkan kadar kolesterol dalam badan,” katanya kepada Harian Metro di sini,
baru-baru ini.
Katanya, gabungan pegaga dan epal hijau itu mampu membantu
orang ramai menjaga kesihatan.
“Kami harap produk jem pegaga dan epal hijau ini dapat
dikomersialkan syarikat tempatan, kami sedia bekerjasama bagi mencapai hasrat
supaya masyarakat dapat menikmati makanan berkhasiat dalam kehidupan seharian.
“Kita perlu berbangga dengan produk tempatan yang bukan
sahaja berkualiti tinggi tetapi juga dijual pada harga berpatutan,” katanya
yang bercita-cita menjadi pakar penyelidikan makanan.
Menerusi inovasi berkenaan, Noratikah dan dua rakannya
berjaya menduduki tempat kedua pada Persidangan Pendidikan, Penyelidikan,
Inovasi dan Keusahawanan (NERIEC) peringkat kebangsaan di POLISAS pada tahun
lalu.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan