PENUNGGANG motosikal maut selepas terlanggar lembu di
Kilometer 19, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) , dekat Bukit
Sejuk Dungun, malam tadi.
Dalam kemalangan 9.45 malam, Sukri Omar 44, yang beralamat
di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu disahkan meninggal dunia ketika
menerima rawatan kecemasan di Hospital Dungun, 3.54 pagi tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang
ditunggang mangsa dari arah AMBS merempuh lembu melintas di situ.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah
berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Ajil untuk ke rumah abangnya
yang tinggal di Ketengah Jaya.
Menurutnya, mangsa yang parah di bahagian kepala dikejarkan
ke Hospital Dungun, namun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan
kecemasan.
“Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik hospital terbabit
untuk siasatan lanjut dan keluarganya sudah menuntut jenazahnya untuk
dikebumikan di Ketengah Jaya,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Mat Nawi Omar, 58, berkata,
kejadian menimpa adiknya itu dimaklumkan seorang rakan, sebelum dia bergegas ke
lokasi kejadian.
“Apabila saya sampai, adik dah dibawa ke Hospital Dungun dan
saya terus ke hospital. Ketika itu adik dalam keadaan nazak sebelum meninggal,
“katanya.
Menurutnya, lokasi kejadian itu sering menjadi tempat lembu
berkumpul dan melintas serta pernah berlaku kemalangan maut akibat lembu
melintas, baru-baru ini.
Dalam kemalangan pada 12 Januari lalu, Zahawi Ngah, 59,
turut meninggal dunia selepas mengelak sekumpulan lembu melintas di tempat sama
sebelum motosikalnya bertembung dengan teksi.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan