PIHAK pengurusan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), Jambatan
Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah digesa mengkaji
semula spesifikasi penghadang jalan raya bagi mengelak kejadian kenderaan
terhumban ke dalam laut daripada berulang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tindakan itu bagi
menentukan spesifikasi sedia ada mampu untuk mengelak kejadian sedemikian atau
hanya muncul sebagai benteng keselamatan bagi kemalangan kecil dan sederhana.
Sehubungan itu, katanya, keputusan sama ada terdapat
keperluan menaikkan ketinggian penghadang itu hanya akan dimuktamadkan selepas
kajian semula bagi perkara itu dijalankan pihak berkenaan.
"Ini (kenderaan terhumban ke dalam laut) kali kedua
kejadian sedemikian berlaku di Pulau Pinang (membabitkan kereta) dan kita tak
mahu ia terus berulang pada masa hadapan.
"Penghadang sedia ada mungkin berupaya menahan
kenderaan yang terbabit dalam kemalangan biasa daripada terhumban ke dalam laut
dan bukannya kejadian impak tinggi seperti semalam.
"Dalam kejadian semalam, kita dapat lihat kecuaian
pemandu meragut nyawa pengguna jalan raya lain. Justeru, semua pemandu
dinasihat supaya mengambil berat tentang faktor keselamatan, bukan hanya diri
sendiri tetapi pengguna lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Advokasi
Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2019 dengan kerjasama Jabatan
Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang di Butterworth, hari ini.
Turut hadir, EXCO Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee;
Pengarah JKJR Pulau Pinang, N M Thurkathevi dan Yang Dipertua Majlis Daerah
Seberang Perai (MPSP), Datuk Rozali Mohamud.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi semalam, kenderaan
utiliti sukan (SUV) putih itu terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam
kemalangan dengan kereta Toyota Vios, ketika dalam perjalanan dari Georgetown
menghala ke Seberang Perai.
Pada Oktober 2015, Mohammad Noor Firdaus Yahya, 28, cedera
ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur selepas motosikal ditunggangnya
terhumban dan bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 1.4 Jambatan Pulau
Pinang menghala ke Georgetown, kira-kira jam 9.30 pagi.
Pada November 2012 lalu, seorang kerani akaun, mendiang Tan
Lean Loon maut selepas kenderaan dipandunya merempuh tembok dan terjunam ke
dalam laut di Kilometer 7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown,
kira-kira jam 3.30 pagi.
Kon Yeow berkata, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia
(PDRM), peningkatan 763 kes kemalangan jalan raya membabitkan angka keseluruhan
sebanyak 43,700 kes sepanjang tahun lalu, berbanding 42,244 kes pada 2016,
direkodkan berlaku di negeri itu.
"Bilangan kematian mencatatkan penurunan 10 kes
membabitkan jumlah keseluruhan 401 kes sepanjang tahun lalu, berbanding 411 kes
pada 2016 dengan 60 peratus daripadanya adalah penunggang motosikal.
"Bilangan kes kemalangan jalan raya yang direkodkan
berlaku di Pulau Pinang ini membimbangkan apabila kita menyumbang peratusan
tinggi daripada jumlah keseluruhan lebih 4,000 kejadian sedemikian yang berlaku
di seluruh negara," katanya.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan