Kanser jejas pelajaran



“DOKTOR memaklumkan sel darah putih dalam badan saya tinggi menyebabkan saya kerap pening, hilang selera makan dan cepat letih,” kata Nurin Amira Mohd Khairi, 12.
Nurin Amira yang menghidap kanser limfoma limfomblastik sejak dua tahun lalu, kini terpaksa berehat di rumah menyebabkan pelajarannya terganggu sedangkan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma itu dijadual menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.
Bapanya, Mohd Khairi Mohamad, 39, berkata, anaknya itu perlu menjalani rawatan dan proses kimoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap bulan mengikuti temujanji ditetapkan doktor.
Katanya, dia risau melihat keadaan anak sulung dari dua beradik itu kerana setiap minggu dia hanya dapat hadir ke sekolah sehari atau dua kali sahaja disebabkan cepat letih.
“Sebelum ini hasil pemeriksaan darah setiap bulan di HPP menunjukkan ia semakin baik, cuma bulan lalu doktor memberitahu sel darah putihnya tinggi.
“Disebabkan itu dia perlu berehat di rumah kerana saya bimbang dia pengsan di sekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Langgar, Alor Setar, hari ini.
Mohd Khairi yang berkhidmat sebagai kakitangan swasta berkata, pendapatan bulanannya sebanyak RM1,200 tidak mampu menyara isteri dan seorang lagi anak berusia sembilan tahun.
Katanya, Nurin Amira anak yang pintar dan pernah memperoleh tempat pertama dalam peperiksaan di sekolah tahun lalu, namun disebabkan sakit sejak akhir-akhir ini, dia tertinggal dalam banyak mata pelajaran.
“Dia juga mudah dijangkiti penyakit jika ada sesiapa demam atau selsema datang melawat dan perlu dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan sekurang-kurangnya seminggu.
“Disebabkan itu kami terpaksa memberi Nurin minum susu formula khas yang harganya RM80 satu tin dan dia memerlukan antara tujuh ke lapan tin sebulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bapanya, 02105020208037 Bank Islam (Mohd Khairi) atau menghubungi talian 018-9427134.
Sementara itu, nasib yang menimpa Nurin Amira mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyampaikan sumbangan peribadi melalui Pegawai Khasnya, Hassanudin Samsudin, bersama wakil Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...