Lelaki ugut isteri guna 'bakakuk' diburu



POLIS giat mengesan seorang lelaki yang disyaki mengugut isterinya menggunakan selaras senapang buatan sendiri atau bakakuk dalam kejadian di Kampung Gorowot Kuala Penyu, Beaufort, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, terdahulu seorang wanita berusia 37 tahun membuat laporan polis mendakwa dia diugut dengan selaras senapang dan ditumbuk di mulut oleh suaminya pada kira-kira 9.00 malam.
Katanya dalam kenyataan hari ini, kejadian berlaku ketika wanita itu baru pulang ke rumah selepas keluar membantu ibunya membuat sagu.
Menurutnya, wanita itu mendakwa suaminya yang dalam keadaan mabuk memarahinya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka dan lelaki itu kemudian mengambil senapang buatan sendiri yang disimpan di dapur dan memasukkan peluru.


Beliau berkata, lelaki itu kemudian mengacukan senapang terbabit ke arah isteri dan anak lelaki mereka berusia lapan tahun, menyebabkan isterinya menjerit meminta pertolongan jiran sebelah rumah.
Azmir berkata, lelaki itu terus menyimpan senapang berkenaan ke dalam keretanya dan menumbuk mulut isterinya sebelum melarikan diri.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...